Barisan Nasional (BN) Perak akan menggunakan ‘template’ atau acuan pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan dua tahun lalu dalam PRK Parlimen Kuala Kangsar bulan depan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata acuan yang diterjemahkan dalam bentuk gerak kerja jentera parti berjaya memastikan kemenangan kepada BN di Teluk Intan.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir kerana telah tersedia (dengan template) PRK Teluk Intan yang telah memberikan keberhasilan agak memberangsangkan,” katanya

Ahmad Zahid yang merupakan Naib Presiden UMNO dan menjalankan tugas sebagai Timbalan Presiden parti berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat khas Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak, di sini hari ini. Turut hadir Zambry, Naib Presiden UMNO Datuk Seri Dr Hishammuddin Tun Hussein dan Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Pada PRK Parlimen Teluk Intan 31 Mei 2014, calon BN Datuk Mah Siew Keong menewaskan calon DAP Dyana Sofya Mohd Daud dengan majoriti 138 undi.

Ahmad Zahid turut mengulangi kenyataannya sebelum ini bahawa BN tetap menganggap ia adalah ‘underdog’ dalam PRK Kuala Kangsar berdasarkan jumlah undi yang diperoleh BN dalam pilihan raya umum ke-13.

“Kami akan menggandakan usaha kerana pihak lawan kami sama ada PAS atau Parti Amanah Negara (Amanah) atau kedua-duanya sekali, mereka bersiap siaga untuk menawan kembali Parlimen Kuala Kangsar,” katanya.

Katanya sebagai persediaan menghadapi PRK itu, Menteri Besar Perak telah membuat pembahagian kepada jentera UMNO daripada beberapa negeri untuk menjaga kawasan tertentu termasuk Pusat Daerah Mengundi (PDM).

Selain itu, beliau berkata UMNO Bahagian Kuala Kangsar termasuk pergerakan sayap telah sedia untuk menggerakkan jentera bagi memastikan kerusi Parlimen Kuala Kangsar kekal milik BN.

“Jika gerak kerja diteruskan dan jika permasalahan dalaman dapat diselesaikan, kita tak nampak calon kita yang akan ditentukan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, ada masalah untuk menang,” katanya.

PRK Kuala Kangsar perlu diadakan berikutan kematian Anggota Parlimennya Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak, 5 Mei lepas.

Turut terkorban dalam nahas itu ialah Anggota Parlimen Sungai Besar, Selangor yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Noriah Kasnon.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRK Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar diadakan serentak pada 18 Jun, manakala penamaan calon pada 5 Jun.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *