Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > PRK Kimanis Penting Untuk Hantar Isyarat Tolak PH

PRK Kimanis Penting Untuk Hantar Isyarat Tolak PH

KIMANIS, Kemenangan di Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis sangat penting untuk menghantar isyarat kepada Putrajaya bahawa rakyat menolak tindakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang mempermainkan amanah diberikan rakyat dalam PRU14.

Demikian kata Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah dalam Program Pemimpin Bersama Rakyat di Dewan Kesenian Islam, Membakut hari ini.

Katanya, himpunan jentera yang begitu ramai adalah bukti bahawa UMNO Sabah tidak lumpuh.

“Himpunan jentera yang begitu ramai hari ini adalah bukti, walaupun ada orang tertentu yang kata UMNO Sabah sudah lumpuh, sebenarnya keadaan adalah sebaliknya kerana UMNO Sabah makin kuat dan lahir semakin ramai jentera pelapis baru,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa semua jentera untuk bekerja bersungguh-sungguh.

“Semua jentera mesti bekerja bersungguh sungguh, berkempen secara berhemah. Pastikan setiap undi dicari kerana setiap undi itu penting,” katanya lagi yang juga Ahli Parlimen Lenggong.

Turut hadir dalam program tersebut ialah Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa; Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sabah, Datuk Bung Mokhtar Radin serta kepimpinan UMNO tempatan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan 18 Januari depan sebagai hari pengundian bagi PRK Parlimen Kimanis dengan hari penamaan calon pula ditetapkan pada 4 Januari manakala pengundian awal pada 14 Januari.

Leave a Reply

Top