MH Online

Laman Suara Rakyat

PRIHATIN, PENJANA Bantu Malaysia Keluar Dari Kemerosotan

PRIHATIN, PENJANA Bantu Malaysia Keluar Dari Kemerosotan

PUTRAJAYA, Langkah proaktif awal kerajaan menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) membantu Malaysia keluar dari kemerosotan akibat COVID-19.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata melihat pada penanda ekonomi negara, ia sudah meningkat secara beransur dan keluar dari keluk kejatuhan.

Beliau berkata, walaupun seluruh dunia masih menghadapi cabaran disebabkan pandemik itu, keyakinan dalam pasaran Malaysia tetap teguh terutama dari pelabur asing berdasarkan pelaburan sebanyak RM23.1 bilion di dalam pasaran bon sehingga Ogos.

Malah, katanya, ringgit juga muncul sebagai antara mata wang paling kukuh di Asia Tenggara dipacu oleh inisiatif secara berterusan kerajaan dalam menangani COVID-19.

“Keyakinan pelabur juga dapat dilihat melalui pelancaran Bandar Malaysia baru-baru ini, yang berpotensi membuahkan kesan pengganda kepada pelbagai sektor ekonomi negara, serta menarik bakat dari dalam dan luar negara,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Laporan LAKSANA Ke-22 pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) di sini, hari ini.

Bandar Malaysia adalah projek pembangunan bandar tunggal terbesar di Asia Tenggara dengan nilai pembangunan kasar dianggarkan berjumlah RM140 bilion.

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, inisiatif oleh Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) juga menyasarkan ekonomi Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) meningkat sebanyak RM300 bilion menerusi inisiatif digariskan dalam Pelan Pembangunan Strategik (SDP) NCER 2021-2025 yang baharu dilancarkan.

Katanya, SDP ialah rangka kerja mantap dan strategik untuk merealisasikan gabungan potensi semasa di negeri NCER iaitu Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak merangkumi projek strategik, pelaburan berimpak tinggi dan program modal insan, untuk memenuhi keperluan semasa rakyat, perniagaan serta industri, dalam usaha untuk mengurangkan jurang pembangunan antara bandar dengan luar bandar.

“Usaha pemulihan ekonomi yang terjejas akibat penularan COVID-19 akan dipertingkatkan melalui siri libat urus Belanjawan 2021 yang telah dan sedang giat dijalankan oleh pasukan Kementerian Kewangan bagi mendapatkan maklum balas dan input daripada segenap lapisan rakyat.

“Maklum balas berkenaan seterusnya akan digunakan bagi merangka Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan di Parlimen pada awal November ini,” katanya.