MH Online

Laman Suara Rakyat

Prestasi Ekonomi Malaysia Atasi Negara Jiran

Prestasi Ekonomi Malaysia Atasi Negara Jiran

KUALA LUMPUR, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) sedang menilai 725 projek perkilangan dan perkhidmatan dengan anggaran jumlah pelaburan RM36.7 bilion.

Menteri Kanan (Ekonomi), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata daripada jumlah keseluruhan itu, sebanyak RM19.2 bilion (52.3 peratus) adalah pelaburan langsung domestik dan RM17.5 bilion atau 47.7 peratus adalah pelaburan langsung asing.

“Selain itu, sebanyak 141 projek dengan nilai pelaburan RM72.6 bilion yang berpotensi untuk melabur di Malaysia sudah dikenal pasti,” katanya ketika sesi menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah Diraja pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Mohamed Azmin yang juga Menteri Perdagangan dan Industri Antarabangsa berkata, di sebalik cabaran ekonomi dunia yang tidak menentu, Malaysia masih berada di kedudukan baik mengatasi negara jiran dari segi prestasi daya saing.

Berdasarkan laporan ‘Doing Business 2020’ diterbitkan Bank Dunia, beliau berkata, Malaysia berada di tangga ke-12 antara 190 ekonomi, sekali gus menyaksikan kedudukan lebih baik berbanding 2019 apabila Malaysia berada pada kedudukan ke-15.

“Prestasi Malaysia pada 2020 mendahului negara maju seperti Jerman (22), Kanada (23), Jepun (29), Perancis (32) dan Switzerland (36).

“Berdasarkan ‘Global Competitiveness Report 2019’ yang dikeluarkan oleh World Economic Forum (WEF), Malaysia berada di kedudukan ke-27 antara 141 ekonomi.

“Kedudukan Malaysia mengatasi kebanyakan negara jiran seperti Thailand (40), Indonesia (50), Filipina (64) dan Vietnam di kedudukan 67,” katanya.

Mohamed Azmin berkata, jumlah perdagangan negara terjejas bagi tempoh Januari hingga Jun 2020 ekoran pandemik COVID-19, dengan mencatatkan pengurangan sebanyak tujuh peratus kepada RM833.36 bilion berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Katanya, eksport menyusut 6.8 peratus kepada RM448.99 bilion manakala import berkurang 7.2 peratus kepada RM384.38 bilion.

“Lebihan dagangan bernilai RM64.61 bilion iaitu menurun 4.1 peratus berbanding tempoh sama pada 2019.

“Prestasi perdagangan sama turut dialami oleh negara di rantau ini seperti Singapura yang mencatatkan pengurangan perdagangan sebanyak 10 peratus, Indonesia sebanyak 9.9 peratus dan Thailand sebanyak 9.8 peratus,” katanya.

Beliau berkata, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) giat membangunkan Pelan Induk Perindustrian Baharu yang membabitkan perancangan strategi dan pelan tindakan khusus, termasuk dalam meningkatkan pelaburan dan daya saing negara bagi tempoh 2021-2030.

Sejak April 2020, Mohamed Azmin berkata, MITI bersama-sama Kementerian Kewangan dan Unit Perancang Ekonomi (EPU) merangka Pelan Pemulihan Ekonomi bagi jangka pendek, sederhana dan panjang.

Katanya, ia bertujuan memperkukuhkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) melalui pengwujudan peluang pekerjaan untuk rakyat serta meningkatkan produktiviti dan daya saing sektor ekonomi negara.