MH Online

Laman Suara Rakyat

Prasarana Tambah 27 Set Tren Bernilai RM1.7 Bilion

Prasarana Tambah 27 Set Tren Bernilai RM1.7 Bilion

KUALA LUMPUR, Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) akan menambah sebanyak 27 set tren empat gerabak bagi Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya bernilai RM 1.7 bilion, bagi menampung peningkatan jumlah penumpang pada masa akan datang.

Pengerusi Kumpulan Prasarana, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, dua daripada set gerabak itu telah diperoleh dan sedang dalam proses pemasangan di Westport, Pelabuhan Klang, manakala selebihnya akan diterima secara berperingkat sehingga 2023.

“Selain meningkatkan kapasiti (penumpang) khususnya untuk waktu puncak pagi dan petang, pengenalan tren baharu ini akan meningkatkan keselesaan di samping mengekalkan kekerapan tren pada purata 2.5 minit,” katanya dalam sidang media selepas lawatan kerja ke depoh LRT laluan tersebut di sini, pada khamis.

Beliau berkata, LRT laluan Kelana Jaya kini beroperasi dengan kapasiti 84 tren termasuk 35 tren dua gerabak untuk menampung lebih 300,000 penumpang sehari.

Tajuddin berkata, bagi tren empat gerabak, ia boleh menampung kapasiti lebih 900 penumpang manakala tren dua gerabak boleh menampung lebih 200 orang.

“Dengan penambahan tren, kita harap boleh mencapai sasaran pertambahan bilangan penumpang sebanyak tujuh peratus setiap tahun,” katanya dan menurutnya LRT laluan Kelana Jaya merupakan rangkaian paling sibuk dalam perkhidmatan rel kendalian Rapid Rail.

Katanya, pihanya juga bercadang menghantar kakitangan menjalani program latihan di luar negara bagi meningkatkan kemahiran dalam mengurangkan kebergantungan kepada pembekal import.

Terdahulu, Tajuddin meluangkan masa kira-kira dua jam meninjau operasi depoh LRT laluan Kelana Jaya dan mengadakan perbincangan dengan tenaga pengajar Pusat Kecemerlangan Prasarana selain meninjau kemajuan projek pembinaan bangunan baharu Prasarana.