Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Prasarana Atur Stategi Lonjak Sektor Pengangkutan

Prasarana Atur Stategi Lonjak Sektor Pengangkutan

SUBANG, Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) sedang mengatur strategi jangka panjang bagi melonjakkan kembali sektor pengangkutan awam yang kini terjejas ekoran pandemik COVID-19.

Pengerusinya, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, berkata pihaknya akan melihat semula langkah berpotensi yang boleh dilaksana pada masa depan selain kempen besar-besaran penggunaan pengangkutan awam dalam kalangan rakyat.

Menerusi kempen seperti itu katanya, kemerosotan jumlah penumpang disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang mengehadkan pergerakan individu menggunakan pengangkutan awam, mampu ditampung semula.

“Saya sebagai pengerusi bersama pengurusan Prasarana akan merancang strategi untuk masa depan. Apabila pandemik ini selesai, kita akan kembali seperti biasa.

“Yang penting pasca COVID-19, kita yakin jumlah penumpang akan bertambah. Malah, saya fikir untuk promosi pengangkutan awam sama ada MRT, LRT dan bas.

“Kita mahu galakkan lebih ramai guna pengangkutan awam,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke Bas Rapid Transit (BRT) Laluan Sunway di sini, hari ini.

Beliau percaya, kempen berterusan yang mengajak orang ramai menggunakan pengangkutan awam mampu memberi kesedaran berterusan kepada pengguna, disamping langkah mengurangkan kesesakan di jalan raya terutama di ibu kota.

“Harga pengangkutan awam lebih murah dan bagi golongan pelajar, ia sangat membantu. Golongan pekerja juga boleh gunakan pengangkutan awam ini untuk bekerja kerana ia menjimatkan masa,” katanya.

Dalam pada itu, Tajuddin berkata, Prasarana akan meneruskan peraturan mengehadkan 20 penumpang pada sesuatu masa untuk menaiki perkhidmatan bas sepanjang tempoh PKPB.

Beliau berkata, biarpun akui jumlah penumpang yang mahu menggunakan pengangkutan awam itu tinggi ketika ini, namun pematuhan penjarakan sosial tetap menjadi keutamaan pihaknya.

“Sekarang kita dalam tempoh menghadapi masalah COVID-19, jadi kita perlu mematuhi arahan PKPB, terutama penjarakan sosial.

“Bilangan penumpang dikurangkan hanya kepada 20 orang saja. Ini bagi mematuhi arahan pihak berkuasa selain normal baru dalam masyarakat,” katanya.

Leave a Reply

Top