MH Online

Laman Suara Rakyat

Politik Sabah Mesti Ikut Pusat

Politik Sabah Mesti Ikut Pusat

KOTA BELUD, Sabah perlu mengubah landskap politiknya supaya pembangunan menyeluruh dapat diterjemahkan kepada rakyat.

Bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Salleh Said Keruak, berkata perubahan itu perlu dilakukan bagi menambah baik keadaan semasa di negeri itu.

Politik semasa, tegasnya, masih cenderung kepada pendekatan konfrontasi dan persepsi sehingga rakyat keliru untuk memilih kerajaan yang benar-benar komited membangunkan negeri.

“Sabah masih dahagakan politik pembangunan, maka kerajaan yang stabil perlu dipilih supaya seiring dengan kerajaan Pusat.

“Asas ekonomi Sabah masih lemah sehingga tidak dapat bergerak sendiri tanpa bantuan dana daripada Kerajaan Pusat sehingga sukar melaksanakan pembangunan menyeluruh, terutama di pedalaman,” dipetik sebagai berkata.

Beliau yang juga calon Barisan Nasional (BN) kerusi Usukan bagi Pillihan Raya Negeri (PRN) ke-16 Sabtu depan berkata, gelaran ‘parti Semenanjung’ terhadap BN tidak melemahkan semangat memperjuangkan Perjanjian Malaysia (MA63).

Katanya, persepsi kononnya BN tidak memperjuangkan MA63 adalah tidak tepat, malah perbincangan lebih mudah dilakukan sekiranya kerajaan negeri seiring dengan kerajaan Pusat.

“Sentimen ‘Sabah untuk orang Sabah’ hanya ditiupkan pihak tertentu untuk menimbulkan perasaan tidak senang dalam kalangan rakyat.

“Kuasa autonomi yang dituntut perlu jelas supaya rakyat lebih faham dengan perjuangan untuk rakyat Sabah,” katanya.

Mengulas mengenai kempennya menghadapi PRN Sabah, Salleh yang juga bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata, penduduk Usukan masih memerlukan kemudahan infrastruktur terutama capaian internet untuk meningkatkan aktiviti ekonomi.

Katanya, pengumuman kerajaan untuk melaksanakan pelan tindakan Jalinan Digital Negara (JENDELA) sebagai platform penambahbaikan komunikasi digital negara di bawah Rancangan Malaysia ke-12, bakal memberi banyak manfaat terhadap kemudahan jalur lebar di Sabah.

“Internet penting dalam pelbagai aktiviti sosioekonomi dan pengumuman kerajaan itu akan membolehkan rakyat Sabah menyertai usaha pendigitalan ekonomi dengan lebih

“Ini bukan lagi satu bentuk kemewahan, sebaliknya keperluan untuk semua,” katanya.