Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Polis, Tentera Pantau Pasar Selayang

Polis, Tentera Pantau Pasar Selayang

KUALA LUMPUR, Polis dan tentera akan ditempatkan di pasar borong serta pasar basah di Selayang yang sebelum ini didapati gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, ketika mengumumkan langkah itu berkata ia bertujuan memastikan isu kesesakan pengunjung di pasar berkenaan dapat ditangani secara tuntas.

Beliau berkata, mesyuarat menteri bersetuju untuk menempatkan polis dan tentera bagi mengawal kesesakan, selain memastikan arahan seperti penjarakkan sosial serta penjagaan kesihatan sentiasa dipatuhi.

“Semalam ramai yang membangkitkan beberapa isu…yang saya ingin jawab, adalah berkaitan pasar borong Selayang kerana masih lagi ada yang bersesak dan tidak patuh kepada penjarakkan sosial serta sebagainya.

“Keputusan mesyuarat adalah untuk tempatkan polis dan tentera di pasar borong Selayang dan pasar basah Selayang,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Khas Menteri Mengenai PKP di Putrajaya, hari ini.

Ismail yang juga Menteri Pertahanan berkata, pendekatan drastik sedemikian diambil selepas kerajaan mendapati corak pematuhan dan kawalan kesesakan di Pasar Ayer Hitam di Johor berupaya ditangani dengan kehadiran polis serta tentera di lokasi.

Katanya, kedua-dua agensi kawalan keselamatan itu antara lain akan bertindak memastikan setiap pengunjung mematuhi SOP digariskan Kementerian Kesihatan.

“Pasar di Ayer Hitam pun sebelum ini timbul isu sama setiap hari, tetapi saya dimaklumkan, lokasi itu kini mematuhi setiap perintah dan SOP dikeluarkan Kementerian Kesihatan.

“Jadi, kita nak pastikan pasar di Selayang juga mematuhi perintah sama dengan menggunakan pendekatan ini,” katanya.

Leave a Reply

Top