MH Online

Laman Suara Rakyat

Polis Tambah Kekuatan Kawal Sempadan

Polis Tambah Kekuatan Kawal Sempadan

KUALA LUMPUR, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menambah kekuatan 100 peratus di kawasan sempadan darat dan perairan bagi mengawal kemasukan warga asing ke negara ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, langkah itu diambil bagi mengelak berlakunya gelombang ketiga penularan COVID-19 di negara ini.

“Berdasarkan saranan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KkM) mengenai gelombang ketiga COVID-19 membabitkan warga asing, kami akan mengambil tindakan memperketatkan lagi kawasan sempadan darat dan perairan dengan menambah kekuatan pegawai dan anggota.

“Setakat ini, seramai 2,500 pegawai dan anggota bertugas mengawal dan meronda di sempadan darat dan pantai di seluruh negara dengan pelaksanaan pelbagai operasi termasuk Op Nyah, Op Batas, Op Taring dan Op Warisan,” katanya pada sidang media di Bukit Aman, di sini, hari ini.

Abdul Hamid berkata, pihaknya menjangkakan ada pendatang asing tanpa izin (PATI) dibawa masuk ke negara ini menggunakan laluan tikus sekali gus menyebabkan kemasukan mereka tanpa melalui saringan.

“Kita memandang serius perkara ini, isu ini sudah dibincangkan dengan Panglima Angkatan Tentera (PAT), ketiga-tiga panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) iaitu udara, darat dan laut di Kementerian Pertahanan pagi tadi.

“Hasil perbincangan hampir dua jam itu, banyak idea dizahirkan berhubung penugasan PDRM bersama ATM untuk mengawal lokasi berkenaan dengan memperketatkan kawalan bagi mengurangkan risiko,” katanya.

Beliau berkata, ada antara warga asing yang bergerak secara senyap ke kawasan sempadan seperti jeti untuk pulang ke negara asal masing-masing.

“Sebelum ini, kita telah menahan lima lelaki serta seorang wanita warga Bangladesh dan Myanmar yang cuba memasuki negara ini pada 19 hingga 23 Mac lalu iaitu dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Berdasarkan trend ini, kita juga akan melakukan pemantauan di jeti berhampiran sempadan bagi mengelak kemasukan warga asing yang boleh mengundang penularan COVID-19,” katanya.