MH Online

Laman Suara Rakyat

Polis Tahan Pegawai Kanan Imigresen Johor

Polis Tahan Pegawai Kanan Imigresen Johor

JOHOR BAHRU, Seorang wanita berusia 50 tahun yang bertugas sebagai penolong pengarah Jabatan Imigresen Johor ditahan polis kelmarin, dipercayai terbabit dalam sindiket penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI), sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan Mac lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata pegawai itu ditahan di pejabatnya tengah hari kelmarin oleh Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor.

“Pegawai kanan Jabatan Imigresen itu ditahan hasil siasatan ke atas tiga pegawai imigresen yang ditahan pada 24 Jun lalu berikutan bersekongkol dengan sindiket PATI.

“Ini adalah tangkapan pegawai kanan paling tinggi setakat ini yang terbabit dalam rangkaian sindiket PATI di Johor, sejak operasi besar-besaran mengekang aktiviti haram itu dilancarkan.

“Modus operandi yang digunakan pegawai kanan wanita terbabit adalah dengan menyediakan cop Jabatan Imigresen Malaysia yang disyaki palsu bagi menguruskan penyeludupan warga Indonesia yang tamat tempoh Pas Lawatan Sosial (PLS) dan disyaki aktif melakukan kesalahan ini sejak sebelum PKP dikuatkuasakan,” katanya pada sidang media di Ibu IPK Johor, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor Senior Asisten Komisioner Md Yusof Ahmad dan Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan & Operasi) Johor, Asisten Komisioner Hoo Chuan Huat.

Pada 24 Jun lalu, media melaporkan tiga pegawai Jabatan Imigresen dan seorang anggota Pasukan Polis Marin (PPM) ditahan susulan operasi berterusan polis Johor terhadap kegiatan sindiket penyeludupan imigran sejak Mac lalu.

Pegawai Jabatan Imigresen berusia antara 30 hingga 48 tahun itu bertugas di Terminal Feri Pasir Gudang, Johor, manakala anggota PPM berusia 41 tahun pula bertugas di Markas Operasi Pasukan Marin di Putrajaya.

Terdahulu pada 18 Jun, media melaporkan, polis Johor menahan 18 anggota penguat kuasa termasuk seorang pegawai kanan polis selain anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang terbabit dalam sindiket jenayah terancang penyeludupan PATI di negeri ini yang dikesan aktif sejak 2017.

Kesemua suspek membabitkan pegawai kanan polis berpangkat Asisten Superintendan (ASP) yang bertugas di sebuah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di negeri ini, seorang anggota pangkat rendah Polis Marin Wilayah Dua, Tampoi, anggota pangkat rendah bertugas di Bukit Aman (dua) dan anggota pangkat rendah bertugas di IPD Kota Tinggi (sembilan).

Polis Johor turut menahan dua pegawai ATM dan tiga anggota ATM lain-lain pangkat yang kesemuanya ditahan di sekitar negeri ini susulan operasi khas antara 15 Jun hingga awal pagi 18 Jun lalu.

Semalam pula, Seramai 51 anggota Geng Otong dilaporkan didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Tinggi, atas pertuduhan menganggotai kumpulan jenayah terancang kerana mendalangi sindiket penyeludupan pendatang asing, antara 2015 hingga tahun ini.

Mengulas lanjut, Ayob Khan berkata, pegawai kanan Jabatan Imigresen wanita itu ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Katanya, dia akan disiasat mengikut, Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM 2007).

“Setakat ini, polis Johor sudah menahan seramai 23 penjawat awam serta anggota penguat kuasa termasuk membabitkan pegawai berikutan terbabit sindiket PATI di Pantai Timur Johor.

“Polis Johor akan terus memperhebatkan operasi mengesan sesiapa juga yang terbabit dalam sindiket PATI tanpa mengira apa jawatan mereka,” katanya.