Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Polis Serbu Sindiket Perjudian Online

Polis Serbu Sindiket Perjudian Online

KUALA LUMPUR, Sebuah pejabat di Mont Kiara, di sini diserbu, semalam selepas disyaki dijadikan pusat panggilan operasi sindiket perjudian dalam talian.

Dalam serbuan jam 12.30 tengah hari itu, sepasukan anggota dari Bahagian Antimaksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Polis Kuala Lumpur menahan sembilan individu termasuk empat wanita berusia antara 23 hingga 30 tahun.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim, berkata hasil siasatan mendapati sindiket itu menjalankan aktiviti promosi menggunakan aplikasi WeChat, Telegram dan QQ Chat yang menyasarkan pelanggan dari China.

“Premis ini didapati beroperasi 24 jam sehari sejak setahun lalu selain disewa RM6,000 sebulan. Gaji pekerja antara RM3,000 hingga RM4,000 sebulan.

“Anggaran keuntungan urus niaga sindiket ini pula kira-kira RM500,000 sehari,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Mazlan berkata, pihaknya turut merampas 10 set komputer, 19 monitor, sembilan papan kekunci, sembilan tetikus, enam telefon bimbit, satu modem, dua router dan enam keping salinan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bagi membantu siasatan.

“Semua tangkapan dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields untuk siasatan dan tindakan selanjutnya.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya.

Mazlan menasihati orang ramai supaya tidak terbabit dengan kegiatan perjudian kerana tindakan tegas berlandaskan undang-undang akan diambil.

Mereka yang mempunyai maklumat berkaitan boleh menghubungi Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0649, Hotline Polis Kuala

Lumpur (03-2115 9999) atau balai polis berdekatan.

Leave a Reply

Top