MH Online

Laman Suara Rakyat

Polis Peronda Pantau Aliran Trafik

Polis Peronda Pantau Aliran Trafik

KUALA LUMPUR, Polis peronda akan ditempatkan di sepanjang lebuh raya dan jalan utama bagi memantau aliran trafik, bermula esok, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Beliau berkata, ia selaras penugasan baharu yang dilaksanakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) susulan perjalanan merentas negeri dibenarkan mulai esok.

“Objektif pemantauan itu ialah untuk mengesan kesesakan lalu lintas, pemandu mabuk, memandu melebihi had laju dan lain-lain kesalahan.

“Walaupun Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) akan mula berkuat kuasa dengan lebih banyak kelonggaran diberikan, esok, PDRM akan terus memantau orang ramai bagi memastikan mereka mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan,” dipetik sebagai berkata.

Abdul Hamid berkata, orang ramai yang dilihat tidak mematuhi SOP masih boleh dikenakan tindakan kompaun dalam tempoh pelaksanaan PKPP.

“Ya, kompaun dikenakan, khususnya yang melanggar arahan penjarakan sosial,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, PDRM turut menarik kembali penugasan sekatan jalan raya di seluruh negara.

Bagaimanapun, Abdul Hamid berkata, ada beberapa sekatan jalan raya yang dikekalkan bagi pelaksanaan Op Benteng COVID-19 bertujuan mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI), manakala pasukan pemantau pematuhan SOP terus bertugas.

Beliau berkata, PDRM bekerjasama dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam sekatan jalan raya untuk Op Benteng.

Dalam perkembangan sama, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias, berkata pihaknya akan terus memantau aliran trafik di lebuh raya, selain melaksanakan sekatan jalan raya mengikut kesesuaian dan keperluan.

Hari ini, Bernama melaporkan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata PDRM akan menarik balik sekatan jalan raya rentas sempadan negeri.

Berikutan itu, polis akan menumpukan pematuhan SOP di premis perniagaan serta kawasan awam, melalui pasukan petugas khas pemantauan pematuhan PKPP di daerah dengan membabitkan agensi berkaitan, iaitu ATM, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).