Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Polis Perlu Patuhi SOP

Polis Perlu Patuhi SOP

SUBANG JAYA, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempunyai prosedur yang perlu dipatuhi ketika berhadapan sebarang situasi dan tidak boleh sewenang-wenangnya bertindak tanpa pertimbangan terutama membabitkan isu tempat ibadat.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, berkata pihaknya perlu mempertimbangkan pelbagai aspek sebelum mengambil tindakan tertentu.

“Ia bukan satu perkara yang mudah, lebih-lebih lagi apabila membabitkan tempat ibadat, jika kita bertindak dengan agresif polis akan dipersalahkan, kita beri bantuan pun ada yang menyalahkan polis.

“Ada juga yang kata polis sampai lambat, ini semua tidak tepat, kita sudah respon kurang daripada 30 minit selepas kejadian berlaku.

“Takkan di tempat ibadat kita mahu gunakan meriam air dan sebagainya, kalau kita buat begitu lagi kami akan diserang, kita kalau mahu bertindak mesti ikut kesesuaian,” katanya pada sidang media di Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC) selepas hadir menziarahi anggota bomba yang cedera diserang perusuh awal pagi tadi.

Mengulas mengenai serangan terhadap anggota dan jentera bomba, Fuzi menjelaskan serangan itu berlaku di kawasan yang tidak dikawal oleh pihak polis.

“Anggota menjalankan kawalan berterusan, tetapi kita tidak boleh berada di semua tempat.

“Mereka ini macam pencuri juga, bila tiada polis mereka akan menimbulkan kekacauan, apa yang berlaku terhadap anggota bomba itu tidak sepatutnya berlaku, mereka berada di situ untuk menawarkan bantuan,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Fuzi berkata pihaknya sudah mempunyai petunjuk bagi memburu dalang yang disyaki terbabit dalam rusuhan kelmarin.

“Kita sudah kenal pasti kumpulan yang memasuki kawasan kuil sebelum kekecohan tercetus.

“Bagaimanapun polis masih memerlukan maklumat lanjut daripada mereka yang menyaksikan kejadian berkenaan,” katanya

Dalam kejadian jam 1 pagi tadi, seorang anggota bomba yang ke lokasi bagi memadam kebakaran kereta di luar Kuil Maha Mariamman bersama pasukannya, dilaporkan cedera diserang perusuh.

Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, yang duduk di bahagian penumpang hadapan unit EMRS dikatakan ditarik keluar oleh kumpulan perusuh sebelum dipukul.

Bagaimanapun, mangsa diselamatkan beberapa orang awam yang berada di lokasi kejadian sebelum dibawa ke Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC) untuk rawatan lanjut.

Serangan berkenaan turut menyebabkan dua jentera bomba iaitu satu unit van EMRS dan jentera pemadam (FRT) dirosakkan kumpulan perusuh dianggarkan seramai 1,000 orang.

Muhammad Adib yang dilaporkan cedera parah dan tidak sedarkan diri dipercayai patah tulang rusuk serta beberapa kecederaan dalaman, kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) SJMC.

Leave a Reply

Top