Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Polis Guna Akta Kanun Keseksaan

Polis Guna Akta Kanun Keseksaan

KUALA LUMPUR, Polis kini menggunakan peruntukan akta Kanun Keseksaan bagi mendakwa individu yang melakukan kesalahan ketika ditahan di sekatan jalan raya.

Pendekatan keras itu diambil kerana kesalahan segelintir individu tidak termaktub dalam peruntukan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Menegaskan perkara itu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata polis dan tentera ketika ini berada dalam ‘mod’ keras bagi memastikan segenap lapisan masyarakat mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Kita lihat kes dipenjara bukan saja berpunca kerana gagal patuhi PKP, tetapi kerana kes lain seperti menghalang tugas pihak berkuasa.

“Jadi selain kes pelanggaran arahan PKP, ada kes lain yang mereka dituduh di bawah Kanun Keseksaan, bukan lagi Akta 342 seliaan Kementerian Kesihatan (KKM).

“(Kanun Keseksaan) ini bawa hukuman berat, iaitu dipenjara lapan bulan dan sebagainya, justeru saya harap apabila ditahan polis, beri kerjasama dan usah cuba halang atau maki hamun kerana tindakan lain akan dilakukan.

“Seperti kita sedia maklum, ‘mod’ pemeriksaan polis sudah berubah daripada nasihat kepada tegas, kini kepada keras,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Khas Menteri Mengenai PKP, di Putrajaya, hari ini.

Mengulas kekerasan digunakan polis dalam insiden di Kunak, Sabah, Ismail menyifatkan pihak berkuasa juga adalah manusia biasa yang tidak lekang daripada mengalami kepenatan ketika menjalankan tugas.

Sehubungan itu, katanya, rakyat tidak harus menggunakan kata-kata kesat dengan memaki-hamun dan terus berdegil mematuhi arahan PKP yang dikuatkuasakan polis serta tentera.

“Bagaimanapun, dalam hal insiden kekerasan ini, kita serahkan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) kerana polis ada SOP dan tatacara mereka sendiri.

“Apa pun kita kena ingat bahawa polis manusia biasa, kita yang duduk di rumah memikirkan pelbagai perkara, jadi mereka juga berpanas, berhujan, bertugas dari pagi sampai ke malam jaga keselamatan.

“Kita kena beri pertimbangan sewajarnya, kalau niat baik, selamatkan nyawa, tetapi dimaki hamun, pasti ada yang buat tindak balas.

“Jalan terbaik, tolong beri kerjasama kepada polis untuk menyelamatkan kita semua,” katanya.

Mengemukakan statistik harian, Ismail Sabri berkata, jumlah tangkapan yang ingkar PKP masuk hari ke-19 perintah itu berkuat kuasa didapati terus menunjukkan penurunan 11 peratus berbanding kadar kelmarin.

Selain itu, katanya, seramai 309 daripada 368 yang ditangkap semalam kini direman, manakala 59 diberikan jaminan, selepas mereka ditahan kerana mengingkari arahan PKP.

“Semalam, polis dan tentera mengadakan 745 sekatan jalan raya di seluruh negara dan melakukan pemeriksaan terhadap 331,839 kenderaan.

“Mereka juga membuat 25,554 pemeriksaan mengejut, termasuk membabitkan 4,399 premis,” katanya.

Menyentuh perkembangan nyah cemar, beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata operasi dijalankan di 83 kawasan, membabitkan 11 negeri, termasuk 41 di Johor dan 13 di Kuala Lumpur, semalam.

Menumpukan kawasan berisiko atau zon merah, beliau berkata, operasi nyah cemar itu turut dilakukan di rumah ibadat, pasar raya, pusat jualan awam dan 32,268 unit Projek Perumahan Rakyat (PPR).

Leave a Reply

Top