Share on Facebook

PUTRAJAYA, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini berkata polis akan mempergiat operasi dan tindakan memerangi kegiatan kongsi gelap di negara ini.

Pasukan Tindakan Khas Antimaksiat, Judi dan Gengsterisme (STAGG) Bukit Aman akan bertindak mempergiat operasi mencegah dan membanteras kegiatan ini, katanya.

“Pihak polis akan terus mengambil tindakan terhadap semua kumpulan kongsi gelap…polis sedang melakukannya (perang terhadap kongsi gelap). Tiada hari tanpa operasi,” kata Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri pada sidang media selepas perhimpunan bulanan warga kementerian itu di sini hari ini.

Beliau berkata tindakan perundangan akan diambil terhadap mana-mana pertubuhan haram sama ada yang melanggar Akta Pertubuhan 1966 atau akta-akta lain.

Timbalan perdana menteri berkata demikian semasa mengesahkan kejadian pembunuhan seorang lelaki di stesen minyak di Jalan Sri Pelangi, Taman Pelangi, Johor, Ahad lalu berpunca daripada perselisihan dan perebutan antara dua kumpulan kongsi gelap.

Beliau berkata mangsa yang berusia lingkungan 30-an mati selepas ditikam dan dilanggar menggunakan sebuah kereta jenis BMW oleh sekumpulan empat lelaki dikenal pasti sebagai ketua kumpulan kongsi gelap.

“Pihak polis sedang giat menjejaki dan memburu keempat-empat lelaki berkenaan. Mereka tidak akan terlepas daripada tindakan polis.

“Kita yakin terdapat perselisihan antara dua kumpulan kongsi gelap tersebut. Siasatan terperinci akan dilakukan,” kata Ahmad Zahid.

Hadir sama pada sidang media itu ialah Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed dan Datuk Masir Kujat serta Ketua Setiausaha KDN Datuk Seri Alwi Ibrahim.

Timbalan perdana menteri berkata dalam pada itu polis bersiap siaga terhadap tindakan balas dendam kumpulan-kumpulan kongsi gelap itu.

“Polis sentiasa bersiap siaga melakukan operasi dan mengambil tindakan jika ada pembalasan antara kumpulan kongsi gelap berbeza. Itu adalah budaya mereka,” katanya.

Semalam, Ketua Polis Johor Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata polis telah mengenal pasti empat suspek yang terbabit dalam kes bunuh berkenaan dan usaha sedang giat dijalankan bagi mengesan dan menahan mereka.

Dalam kejadian kira-kira 7.30 malam itu, mangsa mati selepas ditikam, dilanggar dan digilis menggunakan sebuah kereta oleh sekumpulan empat lelaki.

Kejadian berlaku ketika mangsa bersama seorang wanita warga asing berusia 20-an yang dipercayai isterinya sedang mengisi angin tayar kereta di stesen berkenaan, sebelum tiba-tiba didatangi suspek yang cuba menarik mangsa masuk ke dalam kereta mereka.

Mangsa dilaporkan berjaya seketika meloloskan diri namun dilanggar dan digilis dengan kereta sebelum keempat-empat lelaki tersebut melarikan diri.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *