Share on Facebook

GEORGE TOWN, Polis sedang mengesan seorang wanita yang dipercayai mengedar kopi pracampuran disyaki bercampur dadah sehingga menyebabkan tujuh individu dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) selepas mengalami gejala letih dan lemah yang teruk.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Anuar Omar berkata wanita berumur 40-an yang tidak dikenal pasti identitinya itu diminta tampil di balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.

“Berdasarkan siasatan awal polis, wanita itu mengedarkan kopi pracampuran perisa durian dan kopi putih yang diminum tujuh mangsa itu di kawasan pasar dan beberapa restoran di Jelutong.”

“Dia memberikan dua kopi berlainan perisa daripada syarikat yang sama itu secara percuma kepada orang ramai untuk dicuba sejak dua minggu lepas dan polis percaya keterangan daripada wanita berkenaan dapat merungkai serta memberi petunjuk untuk kami menjalankan siasatan lebih lanjut ,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata polis turut merampas sejumlah peket dua jenis kopi itu yang dibuang di kawasan kaki bukit di Bukit Bendera, di sini pada Sabtu.

Anuar berkata polis turut meminta seorang remaja lelaki berusia 18 tahun yang juga mangsa kopi itu tampil memberi keterangan bagi membantu siasatan kes berkenaan.

“Lelaki itu telah dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang pada 27 Jan lepas kerana mengalami gejala letih dan lemah yang teruk selepas minum kopi perisa durian namun dia melarikan diri ketika menerima rawatan,” katanya.

Beliau berkata setakat ini polis telah merekodkan keterangan tujuh individu termasuk seorang wanita yang memberi kopi berkenaan kepada dua lelaki Nepal yang bekerja sebagai pegawal keselamatan di sebuah bangunan di Pulau Tikus di sini.

Wanita berkenaan dikatakan mendapat kopi itu dari pasar yang diberi secara percuma dan polis tidak menolak kemungkinan kejadian itu mempunyai unsur sabotaj kerana syarikat yang mengeluarkan kopi berkenaan telah menghasilkan pelbagai jenis kopi pracampuran sejak beberapa tahun lepas dan turut dieksport ke negara luar.

Sementara itu, Anuar berkata keputusan ujian darah dan air kencing dua lelaki Nepal yang menjadi mangsa selepas minum kopi berperisa durian pada 31 Jan lepas dijangka diperoleh selewatnya hari ini.

Beliau berkata setakat ini hasil ujian saringan awal kopi berkenaan mendapati ada campuran bendasing yang dikesan dalam kopi berperisa durian, dipercayai dadah jenis methamphetamine.

“Namun polis masih menunggu laporan lengkap daripada Jabatan Kimia untuk mengetahui sama ada memang benar ada campuran dadah atau bahan lain,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *