Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > PNB Serah RM9.68 juta Zakat Kepada Maidam

PNB Serah RM9.68 juta Zakat Kepada Maidam

Permodalan Nasional Berhad (PNB) menyerahkan zakat perniagaan sebanyak RM9.68 juta kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam).

Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan menerima penyerahan zakat berkenaan daripada Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Abdul Wahid Omar dalam satu majlis yang diadakan di Istana Syarqiyyah, di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis itu Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB Datuk Abdul Rahman Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif Maidam Wan Ismail Sahaimi.

Sementara itu, dalam perkembangan lain Abdul Wahid ketika ditemui pemberita berkata PNB berhasrat mencapai dana sebanyak RM350 bilion menjelang tahun 2022 berbanding sekarang iaitu sebanyak RM279 bilion.

Katanya sasaran itu diyakini dapat dicapai menerusi usaha yang dijalankan PNB bagi meningkatkan jumlah pelabur termasuk mengadakan seminar pelaburan yang diadakan secara harian di seluruh negara.

Katanya, ketika ini jumlah pelabur di seluruh negara adalah lebih 13 juta orang.

“Untuk menarik minat pelajar, kita ada kelab pelabur bijak di sekolah-sekolah serta kuiz pelaburan melibatkan universiti dan institusi pengajian tinggi,” katanya.

Abdul Wahid berkata, bagi Terengganu seramai 635,000 orang telah membuka akaun di PNB melibatkan pelaburan berjumlah kira-kira RM7 bilion, iaitu 52 peratus daripada jumlah penduduk di negeri ini.

Sementara itu Wan Ismail berkata, pada tahun lepas Maidam memungut zakat melibatkan jumlah keseluruhan RM137,949,523.03 berbanding RM133,641,272.65 pada tahun 2016.

Katanya, zakat pendapatan merupakan zakat yang tertinggi diterima Maidam tahun lepas iaitu RM72,168,623.42, diikuti zakat perniagaan (RM26,985,337.12) dan zakat wang simpanan (RM24,655,033.09).

Beliau berkata, lain-lain zakat yang diterima ialah zakat harta (RM6,657,506.28), zakat fitrah (RM6,154,278.60), zakat emas/perak (RM823,213.74), zakat tanaman (RM355,225.95) dan zakat ternakan (RM150,304.83).

Leave a Reply

Top