MH Online

Laman Suara Rakyat

PN Masih Boleh Mentadbir Dan Berfungsi

PN Masih Boleh Mentadbir Dan Berfungsi

KUALA LUMPUR, Kerajaan memerlukan mandat baharu bagi memulih dan mengukuhkan ekonomi negara untuk tempoh jangka panjang susulan pendemik COVID-19 yang memberi kesan serius terhadap banyak sektor perniagaan dan industri.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, berkata untuk tempoh jangka pendek, kerajaan Perikatan Nasional (PN) masih boleh mentadbir dan berfungsi termasuk membentang usul di Dewan Rakyat, biarpun berdepan cabaran dan kesukaran.

“Untuk jangka panjang, kita harus memperbaharui mandat kerana pemulihan yang kuat untuk ekonomi memerlukan kerajaan yang lebih stabil,” katanya pada sidang media di Lobi Parlimen, semalam.

Beliau diminta mengulas kenyataan bekas menteri, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, bahawa kerajaan kini sukar berfungsi susulan keputusan pengundian melantik Speaker Dewan Rakyat semalam, menyaksikan hanya 111 sokongan diperoleh bagi menyokong usul kerajaan.

Khairy berkata semua pihak mengetahui kedudukan kerajaan sekarang, namun apa yang penting, ia masih boleh berfungsi dengan baik walaupun bilangannya kecil.

“Sekarang semua tahu jumlahnya iaitu 111 (kerajaan) dan 109 (pembangkang), Itu tidak dinafikan tiada perbahasan mengenai jumlah. Itu majoriti yang sangat kecil dan menjadikan keadaan sukar untuk kerajaan tetapi tidak mustahil.

“Kita masih boleh uruskan kerajaan biarpun dengan majoriti sangat tipis. Kita masih boleh luluskan rang undang-undang, memperkenal dasar dan Kabinet masih boleh berfungsi.

“Kerajaan boleh mentadbir, tidak menjadi masalah dengan majoriti dua undi, kita harus fokus kepada pemulihan segera dan menyiapkan Belanjawan untuk November dan Rancangan Malaysia ke-12 pada Januari,” katanya.

Bagaimanapun, beliau yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata, keutamaan sekarang adalah pemulihan awal ekonomi, sebelum fokus untuk mengadakan pilihan raya.

“Itu adalah bahagian paling penting dalam pemulihan daripada pandemik, kita kena pastikan, tidak seperti negara lain yang berlakunya gelombang dan kluster baru. Tetapi lebih baik ada mandat yang lebih kukuh,” katanya.