Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > PN Kedah Umum Bentuk Kerajaan Baru

PN Kedah Umum Bentuk Kerajaan Baru

ALOR SETAR, Perikatan Nasional (PN) Kedah mengumumkan pembentukan kerajaan negeri baharu selepas mendapat sokongan 23 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor, berkata 23 ADUN terbabit adalah 15 daripada PAS, BERSATU (empat) dan masing-masing dua daripada UMNO dan BEBAS yang juga bekas ADUN PKR.

Beliau berkata kesemua mereka hilang kepercayaan terhadap kepemimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pimpinan beliau hilang kuasa mentadbir negeri.

“Justeru atas kesepakatan bersama 19 ADUN dan empat ADUN BERSATU yang tidak hadir pada hari ini, kami bersetuju membentuk kerajaan negeri baharu atas nama kerajaan PN.

“Bagi menyempurnakan proses peralihan kuasa secara tertib dan aman, maka presiden parti gabungan dalam PN Pusat akan mengemukakan nama calon Menteri Besar baharu.

“Satu nama calon Menteri Besar akan diserah kepada Setiausaha Kerajaan Negeri bagi diperkenan seterusnya menerima tauliah lantikan daripada Sultan Kedah,” katanya pada sidang media di Kompleks PAS Kedah di sini, hari ini.

Sidang media hari ini turut dihadiri dua bekas wakil PKR iaitu ADUN Lunas, Azman Nasrudin dan ADUN Sidam, Dr Robert Ling Kui Ee yang mengumumkan keluar parti tengah hari tadi.

Sanusi berkata, empat wakil BERSATU yang memberi sokongan kepada PN Kedah adalah ADUN Guar Chempedak, Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail; ADUN Bukit Kayu Hitam, Halimaton Shaadian Saad; ADUN Kuah, Mohd Firdaus Ahmad dan ADUN Ayer Hangat, Juhari Bulat.

“Akuan Bersumpah (SD) semua ADUN terbabit sudah diserahkan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri di Wisma Darul Aman pagi tadi, kecuali Juhari yang akan menyerahkan SD beliau esok.

“Kumpulan empat ADUN BERSATU berkenaan juga akan mengumumkan sokongan pada PN Kedah pada sidang media berasingan selewat-lewatnya esok,” katanya.

Berikutan pengumuman hari ini, komposisi DUN Kedah menyaksikan perubahan apabila PAS kini menguasai 15 kerusi, PKR (lima), AMANAH (empat), BERSATU-Tan Sri Muhyiddin Yassin (empat), BERSATU-Tun Dr Mahathir Mohamad (dua), UMNO (dua) dan BEBAS (dua).

Mengulas mengenai nama calon Menteri Besar yang akan dipilih PN Kedah, Sanusi yang juga ADUN Jeneri memaklumkan perkara itu akan ditentukan presiden gabungan parti PN sebelum dipersembah kepada Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.

“Kita sudah mencapai konsensus di peringkat Pusat bahawa hanya satu nama akan dicadangkan kepada Tuanku dan kita menjangkakan semua proses ini dapat diselesaikan sebelum 18 Mei.

“Setakat ini, kita belum membincangkan pembahagian Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO), namun ia akan dimuktamad selepas ini,” katanya.

Leave a Reply

Top