Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > PM Setuju Peralihan Kuasa Secara Aman

PM Setuju Peralihan Kuasa Secara Aman

KUALA LUMPUR, Isu peralihan kuasa Perdana Menteri perlu dilakukan secara aman dan teratur dalam tempoh yang munasabah serta mendapat persefahaman bersama.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata dalam pertemuannya dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini, kedua-dua pihak bersetuju dengan komitmen peralihan kuasa yang dimeterai dalam Pakatan Harapan (PH).

“Pendirian Dr Mahathir dan saya berhubung isu peralihan kuasa sama sekali tidak pernah berubah, seperti yang dipersetujui oleh PH dan dijanjikan berulang kali oleh Perdana Menteri.

“Saya memaklumkan isu peralihan kuasa ini perlu dilakukan secara aman dan teratur dalam tempoh yang munasabah serta mendapat persefahaman bersama,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, beliau mengadakan pertemuan selama kira-kira 30 minit bersama Dr Mahathir di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya.

Dalam pertemuan itu, Anwar juga memohon persetujuan Perdana Menteri untuk mengeluarkan kenyataan berhubung beberapa isu.

Mengulas lanjut, Anwar berkata dalam pertemuan sama, mereka juga bersetuju supaya kerajaan menumpukan perhatian pada pertumbuhan ekonomi dan penyediaan ke arah penganjuran Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC).

“Kami juga tidak bersetuju sekiranya ada usaha lain yang menyimpang dari persetujuan terbabit atau menggunakan nama saya dan Perdana Menteri dalam mana-mana muslihat lain,” katanya.

Turut disentuh Anwar dalam pertemuan itu, ialah dakwaan pembabitan anggota Kabinet yang menyalahgunakan kuasa menerusi pemberian projek.

“Perdana Menteri turut mengambil perhatian mengenai dakwaan dalam kalangan anggota Kabinet yang menyalahgunakan kuasa atau meraih dukungan politik menerusi pemberian projek,” katanya.

Isu pembabitan anggota Kabinet terbabit dengan penganugerahan projek kerajaan dibangkitkan seorang Ahli Parlimen pembangkang pada sesi perbahasan di Dewan Rakyat, hari ini.

Leave a Reply

Top