MH Online

Laman Suara Rakyat

PM Perlu Lakukan Sesuatu

PM Perlu Lakukan Sesuatu

SUNGAI PETANI, Tiada perancangan dan hala tuju jelas ke arah Malaysia Baharu menyebabkan rakyat mula kecewa dengan kerajaan yang dipimpin Pakatan Harapan (PH) ketika ini.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Kedah, Datuk Johari Abdul, berkata kegagalan memahami konsep Malaysia Baharu menyebabkan kerajaan mengulangi kesilapan lama yang dilakukan kerajaan terdahulu.

“Kalau tanya apa Malaysia Baharu dekat orang BERSATU (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) mereka pun tidak faham apa. Kalau niat hendak jatuhkan (Datuk Seri) Najib (Razak), Najib sudah jatuh. Sekarang kita hilang punca tidak tahu hendak pergi ke mana.

“Lepas itu, kita ulang balik perkara yang rakyat tidak suka. Ini tidak membantu. Apa yang dinyatakan Lim Kit Siang itu ada betulnya, apabila 20 tahun kita melawan Barisan Nasional (BN) kita perlu tahu apa hendak buat sekarang,” dipetik sebagai berkata.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Penasihat DAP, Kit Siang yang parti itu tidak akan teragak-agak meninggalkan PH jika tujuan Malaysia Baharu dikhianati.

Johari yang juga Ahli Parlimen Sungai Petani, berkata selepas Najib jatuh, Dr Mahathir seperti tidak tahu untuk membuat apa-apa dan hanya menghabiskan masa ke luar negara.

“Tun hanya mengulangi ucapan yang sama bahawa Najib mencuri. Cukuplah, dia pun sudah ke mahkamah, biar mahkamah yang tentukan.

“Cakaplah sesuatu yang lebih positif, tetapi tiada. Rakyat tertanya-tanya apa seterusnya? Rakyat pastinya mahu sesuatu yang progresif tetapi tidak nampak hala tuju yang jelas,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau tidak pasti sama ada Perdana Menteri terlupa, tidak peduli atau tiada siapa yang menasihatkannya.

“(Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) tidak boleh masuk campur sebab dia orang luar. Kak Wan (Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail) pula ada batasnya.

“Dalam hal ini Perdana Menteri kena buat keputusan. Lakukan sesuatu untuk tidak lagi mengecewakan rakyat,” katanya.