Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor menjadi tuan rumah majlis makan malam sempena Persidangan Antarabangsa mengenai Strategi Lautan Biru (ICBOS) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) malam ini.

Antara tetamu yang turut hadir ialah Presiden Nauru Baron Waqa, Raja Mswati III dari Swaziland, Naib Presiden Maldives Abdulla Jihad dan Setiausaha Agung Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) Tan Sri Iyad Ameen Madani.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa dan Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

Kira-kira 400 anggota delegasi menghadiri majlis makan malam itu sempena persidangan tiga hari itu.

Sebelum itu, Najib merasmikan ICBOS yang bertemakan, “Mentransformasi Negara melalui Kreativiti dan Inovasi,” yang dihadiri kira-kira 3,000 anggota delegasi dan peserta termasuk pemimpin negara dari negara-negara anggota Komanwel, negara-negara ASEAN dan anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

ICBOS diadakan sempena Minggu Antarabangsa NBOS 2016 yang bermula Ahad lalu dan berakhir pada 20 Ogos di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Persidangan itu memfokuskan kepada kreativiti dan inovasi dalam penggubalan dan pelaksanaan dasar dan inisiatif nasional di samping menampilkan ucaptama dan perbincangan oleh pemimpin-pemimpin negara, penceramah terkenal dan pakar-pakar global dari seluruh dunia.

Para pemimpin juga dijadual menghadiri persidangan dwitahunan Pertubuhan Komanwel bagi Pentadbiran Awam dan Pengurusan (CAPAM) 2016 yang juga akan diadakan di PICC dari 18 hingga 20 Ogos.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *