MH Online

Laman Suara Rakyat

PM Akan Umum Penutupan 7 Agensi

GEORGETOWN, Kenyataan rasmi mengenai dakwaan tujuh agensi di bawah Kementerian Kewangan bakal ditutup hanya akan diumumkan oleh Perdana Menteri, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Guan Eng berkata beliau tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai perkara ini kerana kerajaan masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi.

“Kalau ada apa-apa kenyataan rasmi biar ia dibuat oleh kerajaan dan di sini adalah Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. Saya tidak mahu membuat apa-apa komen kerana ini juga membabitkan banyak kementerian. Jadi, tidak elok saya membuat komen kecuali Perdana Menteri,” katanya di sini, hari ini.

Guan Eng berkata demikian selepas diminta mengulas mengenai senarai tujuh agensi di bawah kementeriannya dalam pertimbangan untuk di tutup, yang viral dalam laman sosial.

Terdahulu, Guan Eng yang juga bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, merasmikan pelancaran buku mengenai kenangan Bukit Bendera yang bertajuk ‘Healing Penang Hill’.

Sementara itu ketika ditanya berhubung lawatannya ke China, Anggota Parlimen Bagan itu berkata jadual lawatannya masih belum ditetapkan.

Beliau berkata lawatannya disyorkan oleh Dr Mahathir sebelum ini, tetapi perkara itu sedang dalam pertimbangan kerana beliau ada banyak urusan Parlimen.

“Lawatan itu disyorkan oleh Perdana Menteri, tetapi ini kita akan pertimbangkan kerana Tun pun tahu ada banyak urusan yang saya kena selesaikan termasuk Parlimen,” katanya.

Katanya, beliau akan maklum kemudian mengenai lawatan ke China selepas jadual ditetapkan.

Jun lalu, Guan Eng dilaporkan akan membuat lawatan pertama ke China bagi membincangkan mengenai projek saluran paip gas, Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan hubungan dua hala.