MH Online

Laman Suara Rakyat

PLUS Buka Semua Surau Di R&R

PLUS Buka Semua Surau Di R&R

KUALA LUMPUR, Selaras dengan pengumuman kerajaan mengenai Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), PLUS Malaysia Bhd (PLUS) membuka semula semua surau yang terletak di 24 kawasan Rehat dan Rawat (R&R) termasuk dua Restoran Jejantas berkuat kuasa 10 Jun.

Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail, berkata surau terbabit termasuk di R&R arah utara dan selatan iaitu Gurun, Gunung Semanggol, Sungai Perak, Tapah, Rawang, Dengkil, Seremban, Ayer Keroh, Pagoh, Machap, Gelang Patah serta Restoran Jejantas Sungai Buloh dan Ayer Keroh.

Beliau berkata, surau di R&R Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) iaitu Perasing, Paka dan Ajil (kedua-duanya arah timur) juga sudah dibuka semula.

Bagaimanapun, semua surau di plaza tol PLUS kekal ditutup kepada orang ramai sehingga notis lanjut.

“Kami ingin menekankan bahawa perjalanan di lebuh raya dalam normal baharu ini akan mengambil masa yang lebih lama kerana prosedur operasi standard (SOP) keselamatan akan dilaksanakan sepenuhnya kepada semua yang mengunjungi R&R kami.

“PLUS menjalankan pemeriksaan suhu badan di semua R&R selain memastikan kebersihan makanan selain kebersihan keseluruhan di kawasan itu termasuk parkir kereta menjadi keutamaan kami.

“Kami menggesa pengguna mengambil langkah berjaga-jaga kerana kita saling menjaga keselamatan dan kesejahteraan sesama sendiri selaras dengan nasihat kerajaan iaitu ‘Kita Jaga Kita,” katanya.

Azman berkata, kemudahan R&R dan Restoran Jejantas PLUS sudah dibersihkan dengan teliti dan disanitasi.

Setiap ruang solat dan tempat mengambil wuduk mempunyai penanda penjarakan sosial untuk mematuhi peraturan jarak satu meter.

Pengguna lebuh raya digalakkan membawa sejadah dan telekung sendiri bagi memastikan kebersihan diri terpelihara.

Bergantung kepada saiz dan susunan setiap surau, notis pemberitahuan menunjukkan bilangan jemaah terhad yang dibenarkan pada satu-satu masa akan dapat dilihat dengan jelas manakala pendaftaran adalah diwajibkan bagi tujuan pengesanan kontak.