MH Online

Laman Suara Rakyat

PLKN Akan Dilaksanakan Semula

PLKN Akan Dilaksanakan Semula

KUALA LUMPUR, Kementerian Pertahanan bercadang melaksanakan semula Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang dimansuhkan pada 2018 oleh kerajaan terdahulu.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata pelaksanaan PLKN sebelum ini memberi kesan yang baik kepada pembentukan patriotisme remaja.

“Kementerian Pertahanan (MINDEF) akan mencadangkan supaya PLKN dilaksana semula. Ini juga selari dengan perintah menteri yang akan meletakkan Akta PLKN di bawah MINDEF. Kita akan sediakan memorandum Jemaah Menteri untuk diluluskan Kabinet,” katanya pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2021 peringkat dasar bagi MINDEF di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) yang mahu tahu mengapa program itu dihentikan dan mencadangkan supaya PLKN diteruskan semula.

Mengulas lanjut dalam sesi penggulungan, Ismail Sabri berkata, jurulatih PLKN yang ditamatkan kontrak ditempatkan di pelbagai agensi dan kementerian bagi tempoh setahun mulai 2019 hingga 2020.

“Tujuan pelantikan ialah bagi memberi peluang kepada pegawai terbabit untuk menampung sara hidup mereka sebelum mendapat pekerjaan lain.

“Bagi cadangan agar pegawai ini diserapkan ke dalam kementerian atau agensi kerajaan lain, perkara ini perlu dirujuk kepada pihak berkuasa melantik seperti Jabatan Perkhidmatan Awam dan sebagainya.

“Pelantikan kontrak secara “soft landing” itu membabitkan 1,394 bekas pegawai latihan kontrak Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN),” katanya.

Ismail Sabri menjawab pertanyaan Datuk Seri Shahidan Kassim (BN-Arau) yang membangkitkan isu jurulatih kontrak PLKN yang ditamatkan kontrak dan mencadangkan mereka diserap kementerian atau agensi kerajaan lain.

Sementara itu, beliau berkata, MINDEF dalam proses penggubalan RUU berkaitan senjata biologi sebagai antara langkah pencegahan dalam negara untuk menangani ancaman pada masa akan datang selain meneliti cadangan peruntukan kewangan untuk penyelidikan berkaitan ancaman senjata biologi.

“Memandangkan penyelidikan ini adalah kompleks, MINDEF sedia bekerjasama dengan agensi-agensi lain untuk melaksanakan penyelidikan bersama dalam menangani ancaman itu,” katanya.

Ismail Sabri berkata, pihaknya juga sudah mengemukakan cadangan peruntukan sebanyak RM607.5 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) kepada Jabatan Perdana Menteri bagi dipertimbangkan untuk memenuhi pembangunan fasiliti dan projek penyelidikan dan pembangunan (R&D) STRIDE.

“Kelulusan peruntukan ini kelak dapat memenuhi peranan dan fungsi STRIDE untuk membantu Angkatan Tentera Malaysia (ATM), agensi keselamatan dan industri pertahanan tempatan. Inisiatif ini selaras dengan Kertas Putih Pertahanan yang bertujuan membangunkan keupayaan berdikari (self-reliance) industri tempatan dan sebagai pemangkin kepada ekonomi negara,” katanya.

Menyentuh isu keselamatan Laut China Selatan, beliau berkata, Malaysia akan menggunakan saluran diplomasi bagi menghadapi pengaruh ketenteraan negara asing.

“Pendirian Malaysia adalah jelas, bahawa Laut China Selatan perlu bebas daripada kehadiran kapal-kapal perang bagi mengelakkan ketegangan di kawasan berkenaan,” katanya.