Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) perlu meningkatkan produktiviti dan kualiti produk mereka bagi mencapai sasaran 41 peratus sumbangan industri itu kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2020.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata dalam tempoh tiga tahun sebelum 2020, masih ada baki lapan peratus untuk dicapai PKS yang perlu dipacu lebih cepat bagi mencapai sasaran ditetapkan.

Katanya, beliau melihat PKS sebagai sektor penting bagi menjana pendapatan negara dengan cepat dan sebagai penggerak ekonomi.

“Justeru, buat pertama kali dan tidak pernah dibuat sebelum ini, saya memperuntukkan satu peruntukan besar untuk proses transformasi PKS, iaitu RM22 bilion dalam Bajet 2018 lalu,” katanya.

Najib memberitahu demikian ketika menjawab soalan pada sesi sembang santai sempena pelancaran Pameran Tahunan PKS (SMIDEX) di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamad, manakala Ketua Eksekutif SME Corp, Datuk Hafsah Hashim bertindak sebagai moderator.

Pada majlis sama, Perdana Menteri melancarkan SMIDEX 2017 yang berlangsung selama tiga hari bermula semalam.

Najib berkata, ketika ini PKS menyumbang kira-kira 37 peratus kepada KDNK, iaitu pencapaian memberangsangkan dalam kedudukan ekonomi negara yang dijangka berkembang antara 5.2 hingga 5.7 peratus menjelang akhir tahun ini.

“PKS terus menjadi industri yang kekal berdaya tahan dan relevan, terutama kini berhadapan dengan Revolusi Perindustrian 4.0 dan Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ), “katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *