Anda di sini!
Utama > Ekonomi > PKS Digesa Daftar Harta Intelek Untuk Pertingkat Nilai Jenama – MATRADE

PKS Digesa Daftar Harta Intelek Untuk Pertingkat Nilai Jenama – MATRADE

Kalangan pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (PKS) digesa mengambil langkah bagi pendaftaran harta intelek (IP) masing-masing dalam usaha mempertingkatkan nilai jenama mereka.

Ketika membuat gesaan itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Datuk Dzulkifli Mahmud berkata ini berikutan tahap kesedaran IP melibatkan aspek tanda dagangan, paten dan hak cipta masih rendah.

“Pada era ekonomi digital dan persaingan sengit masa kini, kita perlu menyedari bahawa IP adalah amat bernilai kerana melindungi hasil inovasi selain menyuntik nilai untuk syarikat. Ini (penting) termasuk bagi tujuan permohonan pembiayaan, eksport dan perjanjian perdagangan bebas.

“Ada PKS yang masih tidak melihat kepentingan melindungi IP kerana beranggapan kandungan atau asas produk itu tidak boleh ditiru atau dicuri oleh pihak lain,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Seminar Keberkesanan IP dan Strategi Pengurusan Cukai IP bagi Perspektif Kejayaan Global PKS di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Dzulkifli berkata perlindungan IP itu penting khususnya ketika berdepan pertikaian yang memerlukan pemilik produk mengambil tindakan undang-undang.

Bagaimanapun, usaha mereka akan gagal jika terbukti tidak memiliki hak IP, tegasnya.

Malah, mengikut data Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), hanya sejumlah 16,075 permohonan perlindungan IP diterima daripada syarikat tempatan bagi tempoh 1986 sehingga September lepas.

“Daripada jumlah itu, hanya 3,608 permohonan diluluskan,” kata Dzulkifli.

Sebaliknya, bagi jenama asing di Malaysia, menyaksikan 54,789 daripada 133,368 permohonan diluluskan.

“Perbezaan ketara ini membuktikan ceteknya kesedaran terhadap perlindungan IP dalam kalangan syarikat Malaysia,” tegasnya.

Ditanya mengenai cabaran serta punca ramai PKS bersikap sedemikian, Dzulkifli berkata kebanyakan mereka memberi alasan tiada masa serta beranggapan proses berkaitan sukar biarpun ia tidak menelan belanja yang besar.

“Semua proses (berkaitan) adalah standard dan mengikut garis panduan antarabangsa.

“Ia mungkin melibatkan kira-kira satu peratus daripada pelaburan perniagaan mereka. Sepertimana insurans, anda perlu membayar dan melabur dalamnya seandainya IP berkenaan dicuri atau ditiru,” katanya.

Sehubungan itu, bagi meningkatkan kesedaran berkaitan, Dzulkifli menyarankan tiba masanya untuk untuk memperkenalkan subjek keusahawanan dalam pendidikan awal di sekolah-sekolah.

Pada masa sama, katanya, kerjasama dengan agensi-agensi lain berkaitan bagi kemudahan proses pendaftaran IP juga harus dipertingkatkan.

Leave a Reply

Top