Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > PKR Tunggu Penjelasan Azmin

PKR Tunggu Penjelasan Azmin

KUALA LUMPUR, PKR belum membincangkan secara menyeluruh mengenai tindakan Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, mengadakan ‘pertemuan sulit’ dengan beberapa Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) di kediaman rasminya di Putrajaya, Isnin lalu.

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil, menjelaskan parti itu belum mendapat penjelasan Mohamed Azmin kerana Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu tidak hadir ke mesyuarat Biro Politik, malam ini.

Bagaimanapun, katanya, tiada tempoh khusus diberi kepada Mohamed Azmin untuk memperjelaskan isu itu kepada parti, selain memaklumkan Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin juga tidak menghadiri mesyuarat.

“Kita tak bincang secara khusus kerana kita perlukan beliau hadir memberikan penjelasan penuh dan mengesahkan maklumat itu.

“Kita tak boleh terlalu senang percaya apa yang disebut atau khabar angin dan perlu ada maklumat tepat daripada sumbernya,” katanya kepada pemberita di Parlimen selepas menghadiri mesyuarat Biro Politik PKR di sini, malam ini.

Beliau mengulas pertemuan antara Mohamed Azmin bersama beberapa Ahli Parlimen BN dan PKR di kediamannya di Presint 10, Putrajaya.

Ditanya sama ada PKR akan mengambil tindakan disiplin terhadap Mohamed Azmin, Fahmi menegaskan, perkara itu tidak dibincang ketika ini.

“Mungkin beliau ada urusan penting lain yang perlu dihadiri. Mungkin media boleh tanya dia,” katanya.

Mengulas pendirian PKR berhubung rombakan Kabinet, Fahmi menjelaskan, ia akan dibincangkan dalam Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH), Sabtu ini.

Menyentuh aspek kekalahan PH pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata, PKR mengakui kegagalan kerajaan menunaikan manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) antara punca kerusi berkenaan terlepas ke tangan BN.

“Bagi PKR, ini isyarat jelas daripada pengundi mengenai hala tuju reformasi diusahakan dan ia memperingatkan pimpinan bahawa kita perlu usahakan penyelesaian lebih baik yang diinginkan rakyat.

“Kegagalan melaksanakan (manifesto) akan menyebabkan kita menempuh masalah serupa pada masa depan,” katanya.

Berhubung gesaan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) supaya Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran, mengosongkan kerusinya, Fahmi menjelaskan, parti tidak berhasrat meminta mana-mana pihak berundur.

“Kami ada tanyakan kepada (Naib Presiden PKR) Tian Chua yang hadir malam ini, tapi setakat ini tiada hasrat untuk meminta sesiapa berundur,” katanya.

Leave a Reply

Top