MH Online

Laman Suara Rakyat

PKR Mahu Halang Kemenangan Mat Hasan

PKR Mahu Halang Kemenangan Mat Hasan

RANTAU, PKR mahu pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau menjadi penghalang kepada hasrat UMNO-Barisan Nasional (BN) mencatat kemenangan yang ketiga dalam siri dalam pilihan raya kecil (PRK).

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata pengundi di Rantau harus sedar jika UMNO-BN memenangi PRK kali ini, keputusan itu tidak akan menjadikan UMNO kuat dan stabil seperti sebelum ini.

“PRK ini akan menjadi penentu adakah BN akan berjaya mencapai hatrik? Selepas menang di Cameron Highlands dan kemudian Semenyih, dia nak capai hatrik.

“Tak boleh. Kita mesti sekat jangan sampai dia dapat hatrik. Walaupun kita tahu dia boleh dapat hatrik, UMNO tetap tidak menjadi semakin kuat,” katanya ketika berceramah di Bilik Gerakan Utama Pakatan Harapan di Rantau, malam tadi.

Turut hadir, calon PH bagi PRK DUN Rantau dari PKR, Dr S Streram.

PRK DUN Rantau ialah PRK yang ketujuh diadakan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

BN tewas dalam tiga PRK sebelum ini di DUN Sungai Kandis, DUN Seri Setia dan DUN Balakong tetapi tidak bertanding pada PRK Parlimen Port Dickson.

BN kemudian memenangi PRK Parlimen Cameron Highlands dan DUN Semenyih bulan lalu ketika Datuk Seri Mohamad Hasan yang turut dikenali sebagai Tok Mat menjalankan tugas Presiden UMNO dan kini memburu kemenangan ketiga di DUN Rantau.

Mohamad yang juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan tekad mempertahankan kerusi DUN Rantau yang disandangnya selama tiga penggal sejak 2004.

Saifuddin yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berkata, UMNO tidak akan menjadi kuat dan stabil walaupun memenangi PRK kali ini kerana Mohamad hanya menjalankan tugas Presiden UMNO.

“Kalau Tok Mat menang di Rantau pun tidak akan ada perubahan apa. UMNO akan semakin bergolak.

“Kena ingat pada pemilihan lalu, UMNO memilih Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjadi Presiden. Kemudian Ahmad Zahid ada masalah, dia melepaskan tugas kepada Tok Mat.

“Cuma apabila Tok Mat ambil saja sebagai tugas Presiden, terus menang di Cameron Highlands dan Semenyih. Tapi belum tentu UMNO jadi kuat dan stabil,” katanya.