MH Online

Laman Suara Rakyat

PKR Hormati Gencatan Politik UMNO

PKR Hormati Gencatan Politik UMNO

KUALA LUMPUR, PKR menghormati kenyataan gencatan politik dibuat Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini, namun bertegas akan berusaha mengembalikan mandat rakyat.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata parti dan Ahli Parlimen lain akan tetap dengan hasrat untuk memperbetulkan hala tuju kepemimpinan negara.

“PKR mengambil maklum dan menghormati kenyataan yang dibuat Presiden UMNO hari ini.

“Pada masa yang sama, kami akan mengekalkan usaha ke arah mengembalikan mandat rakyat dengan kebersamaan Ahli Parlimen yang mendukung cita-cita dan harapan yang sama, iaitu untuk memperbetul hala tuju kepemimpinan negara terutama dalam usaha memerangi wabak COVID-19, menyuntik semangat dan membangun semula ekonomi, serta melipat gandakan usaha menyelesaikan masalah rakyat,” katanya menerusi Facebook PKR, hari ini.

Terdahulu Ahmad Zahid berkata, UMNO mengambil pendirian mendukung kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam memberi tumpuan terhadap agenda membantu rakyat dan negara berdepan pandemik COVID-19 serta kegawatan ekonomi.

Katanya, parti itu turut melakukan gencatan politik bagi memastikan agenda menangani COVID-19 dan membantu rakyat yang dihimpit kesusahan akibat hambatan ekonomi dapat ditangani dan diutamakan.