MH Online

Laman Suara Rakyat

PKR Guna Lambang Sendiri Di Sabah

PKR Guna Lambang Sendiri Di Sabah

PORT DICKSON, Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan menggunakan lambang PKR dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang akan diadakan pada 26 September ini.

Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, PKR memutuskan untuk menggunakan lambang sendiri pada PRN itu nanti.

“Memang kita ada terima beberapa cadangan (menggunakan satu lambang) pada PRN Sabah tetapi Keadilan telah memutuskan untuk menggunakan lambang sendiri.

“Selain itu kita akan berunding bersama Parti Warisan untuk pembahagian kerusi, kerana itu adalah tradisi supaya pembahagian kerusi lebih adil, dan kita akan memilih serta menentukan calon PKR yang berkelayakan dan berwibawa,” katanya kepada pemberita di Majlis Pengisytiharan Keluar Parti Bersatu Cawangan Telok Kemang, Port Dickson dan Penyerahan Borang Keahlian Parti PKR di Tasik Villa dekat sini, hari ini.

Anwar menerima borang keahlian PKR daripada bekas Ketua Bersatu Cawangan Telok Kemang hari ini.
Anwar berkata lagi, beliau menyifatkan dakwaan kononnya enam ahli parlimen Parti Amanah akan keluar daripada Pakatan Harapan pula sebagai satu perkara yang tidak berasas.

Menurut beliau, pihaknya setakat ini tidak mendengar mengenai perkara tersebut dan beranggapan bahawa itu hanya mahu melemahkan Pakatan Harapan.

Sementara itu, dalam majlis tersebut, seramai 600 ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Cawangan Teluk Kemang, mengisytiharkan keluar parti bermula hari ini dan menyertai PKR.

Bekas Ketua Cawangan Bersatu Teluk Kemang, Mohd Ibrahim Khan Amanulla Khan berkata, beliau bersama ahli yang lain keliru dengan perkembangan politik Bersatu yang dianggap mengkhianati mandat rakyat.

Katanya, Bersatu tidak amanah dengan mandat yang diberikan oleh rakyat kepada Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum Malaysia ke-14 (PRU-14) lalu.