Oscar menegaskan bahawa perpindahannya dari Chelsea ke Liga Super China bukan satu langkah mundur.

Pemain tengah Brazil ini, yang dipercayai dibayar lebih £500,000 seminggu di China meninggalkan Stamford Bridge untuk beraksi dengan Shanghai SIPG apabila jendela perpindahan dibuka pada awal Januari.

Oscar yakin Liga Super China akan bersaing di landasan yang sama dengan yang pasukan terbaik di dunia satu hari nanti.

“Saya tidak fikir ia adalah satu langkah ke belakang,” kata Oscar kepada pemberita di Doha, di mana dia menjalani latihan dengan rakan sepasukan baharunya.

“Saya fikir di China mereka sedang membuat satu projek besar untuk saya dan semua pemain handal yang datang ke liga ini.

“Saya cukup yakin bahawa pada masa akan datang liga China akan menjadi salah satu liga terbaik di dunia.”

Perpindahan pemain ini ke Shanghai dilihat sebagai berpotensi membawa perubahan besar untuk Liga Super China yang mempunyai impian besar dalam bola sepak dunia.

Carlos Tevez, Axel Witsel dan Ricardo Carvalho, yang juga bersama dengan Shanghai SIPG, semuanya telah berpindah ke China beberapa minggu lalu.

Menurut sumber, Shanghai SIPG dipercayai membayar £60 juta kepada Chelsea  untuk menandatangani Oscar, yang mana kontraknya itu menjadikannya sebagai salah seorang pemain bola sepak dengan bayaran termahal di dunia.

Oscar bersetuju wang memainkan peranan, tetapi berkata perkara ini berlaku bagi semua pemindahannya sebelum ini.

“Ini berlaku kepada setiap pemain, jika bukan kerana wang saya tidak akan meninggalkan Brazil,” katanya.

“Apabila anda pergi ke Eropah anda pergi kerana wang dan juga kerana kelab-kelab yang baik, dan di Shanghai projek ini untuk menjadikannya salah satu liga terbaik.

“Sudah tentu ia juga baik untuk saya dan keluarga dan untuk semua yang terlibat dalam pemindahan itu.”

Katanya langkah yang mengejutkan itu datang secara tiba-tiba dan selepas berbincang dengan keluarga dan ejen ‘kami segera menerimanya’.

“Ia tidak mengambil masa yang lama, semua orang menerimanya sebagai satu perjanjian yang baik untuk semua pihak, jadi rundingannya adalah cepat,” katanya lagi.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *