MH Online

Laman Suara Rakyat

Pilih Agensi Yang Berdaftar Dengan MOTAC

Pilih Agensi Yang Berdaftar Dengan MOTAC

SEREMBAN, Umat Islam yang berhasrat menunaikan umrah dinasihatkan menggunakan perkhidmatan agensi yang berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.

Naib Presiden Unit Umrah dan Haji, Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan (MATTA), Mohd Azri Abd Razak, berkata jemaah juga perlu menyelidik terlebih dulu agensi dan ejen yang menawarkan pakej umrah.

“Selepas Arab Saudi mengumumkan pembukaan sempadan dan membenarkan ibadah umrah secara berperingkat mulai 4 Oktober ini, umat Islam dilihat mula membuat persiapan untuk menunaikan umrah.

“Kami menasihatkan jemaah di negara ini berhati-hati kerana setakat ini, hanya 25 agensi yang diberikan Lesen Khas Umrah (LKU) oleh Majlis Kawal Selia Umrah (MKSU) di bawah MOTAC.

“Selidik terlebih dulu agensi umrah supaya tidak timbul masalah atau menjadi mangsa penipuan pihak tidak bertanggungjawab,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Pada 23 September lalu, Arab Saudi membenarkan semula ibadah umrah dilakukan untuk sepanjang tahun secara berperingkat mulai 4 Oktober ini.

Arab Saudi dilaporkan akan membenarkan 6,000 penduduknya menunaikan umrah setiap hari bermula tarikh berkenaan.

Jemaah dari luar negara pula hanya akan dibenarkan berbuat demikian mulai 1 November ini dengan kapasiti dinaikkan sehingga 20,000 orang sehari.

Mohd Azri yang juga Timbalan Pengerusi MATTA Negeri Sembilan berkata, pihaknya menerima banyak panggilan dan pertanyaan daripada orang ramai mengenai maklumat menunaikan umrah selepas pengumuman Arab Saudi itu.

“Orang ramai dinasihatkan mendapatkan maklumat terkini dari masa ke semasa dan kami menjangkakan kemungkinan peluang melakukan ibadat itu hanya bermula awal tahun depan bergantung kepada situasi COVID-19,” katanya.

Mohd Azri juga berkata, semua syarikat di bawah MATTA boleh membuat promosi atau jualan produk umrah yang ditawarkan tetapi dinasihatkan tidak mengambil wang deposit kerana kerajaan belum membuat apa-apa keputusan mengenai kebenaran rakyat negara ini menunaikan umrah,” katanya.