Jelasnya, kenyataan Abdul Hadi yang menolak konsensus PH itu juga langsung tidak mendatangkan sebarang kesan malah beliau sepatutnya tidak perlu membuang masa dengan urusan parti lain.

“Beliau tidak sepatutnya mencampuri urusan parti lain sebaliknya beliau perlu menjelaskan kepada akar umbi Pas mengapa memilih untuk mengangkat semula UMNO yang sekian lamanya dianggap sebagai musuh ketat Pas dan perosak negara.

“Kelihatan seperti agenda Pas kini adalah menjadi kuda tunggangan untuk membantu UMNO mengangkat semula Datuk Seri Najib Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor kembali berkuasa. Malah, ramai ahli Pas yang ditemui, kini buntu dengan arah perjuangan baharu parti itu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Semalam, Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang menegaskan, Pas tetap tidak berganjak daripada pendirian agar Tun Dr. Mahathir Mohamad terus kekal sebagai Perdana Menteri sehingga habis penggal menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 kelak.

Mengulas lanjut, Syed Badli Shah berkata, Anwar tetap akan diangkat sebagai Perdana Menteri kerana PH adalah sebuah gabungan yang berpegang kepada prinsip dan janji.

“Dr. Mahathir juga telah menyatakan komitmennya terhadap transisi jawatan nombor satu kepada Anwar apabila tiba masanya nanti,” jelasnya.