Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > PH Tidak Perlukan PAS

PH Tidak Perlukan PAS

KAJANG, Pakatan Harapan (PH) tidak memerlukan PAS sebagai rakan sekutu dalam gabungan parti di bawahnya.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata PH adalah gabungan berasaskan prinsip kepercayaan dan hormat menghormati, sekali gus sebarang usaha memasukkan parti lain ke dalam PH mesti berasaskan konsensus.

“PH utuh dan tidak perlukan PAS sebagai rakan sekutu. Kalau pun ada idea dan percubaan memasukkan PAS, ia mesti berasaskan prinsip konsensus, bukannya majoriti.

“Jadi saya tengok buat masa sekarang, cubaan memasukkan PAS itu kekal sebagai satu khabar politik biasa dan saya tidak nampak sebab serta alasan untuk PH sekarang ini menerima keanggotaan baharu,” katanya.

Saifuddin yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Pra Pelancaran Pusat Pengumpulan dan Pengagihan Program Food Bank Malaysia, di sini, hari ini.

Saifuddin mengulas laporan portal berita yang mendakwa PAS mungkin akan diberi peranan dalam Putrajaya untuk menarik sokongan rakyat kepada kerajaan diterajui PH ketika ini.

Semalam, Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Salahuddin Ayub turut menolak sebarang gerakan atau cadangan membawa masuk PAS menyertai kerajaan semata-mata mahu menarik sokongan rakyat kepada Pakatan Harapan (PH).

Beliau yang juga Ahli Majlis Presiden PH menegaskan tiada keperluan ketika ini untuk ‘menyerap’ PAS ke dalam Putrajaya atau negeri dikuasai PH atas alasan pengaruh parti itu mampu memberi kelebihan kepada kerajaan selain menyifatkan rombakan atau pembaharuan secara drastik dalam kerajaan Persekutuan tidak perlu dilakukan memandangkan PH masih mendapat sokongan rakyat.

Sementara itu, mengulas laporan sebuah agensi berita antarabangsa yang menyatakan kononnya PH akan menjadi kerajaan sepenggal jika masalah dalamannya berlarutan, Saifuddin berkata, PH ketika ini adalah sebuah kerajaan yang utuh dan berfungsi sehingga pilihan raya umum akan datang.

“Kita percaya dan tidak pernah memandang rendah kebijaksanaan rakyat. Kita fokus untuk melaksanakan apa juga komitmen dan janji kepada rakyat dan akhirnya rakyat ialah hakim yang terbaik,” katanya.

Mengenai tempoh 14 hari yang diberikan kepada Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin untuk menjawab surat tunjuk sebab yang diberikan kepadanya atas dakwaan salah laku disiplin, Saifuddin berkata, ia adalah tempoh munasabah yang ditetapkan perlembagaan parti itu.

“Kenapa bukan tiga atau tujuh hari, itu memang sudah termaktub dalam proses mengenai perkara disiplin parti,” katanya.

Leave a Reply

Top