MH Online

Laman Suara Rakyat

PH Takut Penyatuan UMNO, PAS?

PH Takut Penyatuan UMNO, PAS?

KUALA LUMPUR, Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali mendakwa pemimpin PH sangat takut dengan Himpunan Bantah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Katanya, pelbagai alasan dan hujah dangkal dikeluarkan oleh pemimpin tertinggi mereka bagi mengurangkan impak kejayaan program tersebut.

“Kenapa sampai begitu sekali ketakutan mereka? Jawapannya ialah kerana himpunan ini bakal menyatukan ahli dua parti terbesar Melayu Islam iaitu Pas dan Umno.

“Sekiranya kesatuan ini kekal sehingga ke PRU15, semua telah dapat meramal apa nasib kerajaan PH termasuk di peringkat negeri. Enam negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang, Perlis, Kedah dan Perak sudah pasti bukan lagi milik mereka,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Khairuddin, beliau melihat pengumuman mengenai ICERD oleh Pejabat Perdana Menteri hanyalah satu strategi bagi menghalang kesatuan Melayu Islam.

“Ia bukan datang dari hati suci nurani dan atas kesedaran bahawa ICERD perlu ditolak kerana bercanggah dengan Perlembagaan dan kepentingan Melayu serta Islam yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, himpunan tersebut bakal memperingatkan rakyat bahawa kecenderungan PH untuk merobohkan empat tonggak asas bernegara iaitu Islam, kedaulatan Raja-raja Melayu, Bahasa Melayu dan hak keistimewaan Melayu serta Bumiputera.

“Mereka boleh berlakon kononnya memberikan peruntukan bagi Islam dan beberapa kepentingan majoriti rakyat tetapi hakikat sebenarnya ia hanyalah topeng bagi menutup agenda mereka.

“Sudah terang lagi bersuluh menerusi ucapan ahli-ahli Parlimen PH khususnya dalam kalangan bukan Melayu untuk menidakkan asas-asas berengara tersebut. Teriakan “ini Malaysian Land bukan Malay Land” di Dewan Rakyat ketika pertelingkahan sesama ahli Parlimen menggambarkan isi hati mereka,” katanya.

Tambahnya, tekanan dari mereka untuk ICERD diratifikasi sangat jelas dilaungkan di Dewan Rakyat sebelum ini.

“Hanya setelah amaran keras dikeluarkan oleh pemimpin Pas dan Umno serta melihat kesatuan rakyat dalam isu ini barulah mereka kendur dan mengambil sikap undur selangkah.

“Adakah mereka akan terus berundur? Tidak, niat mereka tidak pernah surut. Jika tidak menerusi ICERD sekalipun, kehendak tersebut akan dijelmakan pula menerusi pindaan akta-akta berkaitan sedikit demi sedikit kerana mereka memiliki majoriti mudah di Dewan Rakyat,” katanya.

Ujarnya lagi, ICERD hanyalah pendahuluan terhadap beberapa lagi konvensyen antarabangsa yang bercanggah dengan kepentingan Melayu dan Islam diperjuangkan oleh pemimpin PH khususnya daripada DAP dan PKR seperti International Convention Against All Forms of Racial Discrimination, Convenant on Civil and Political Rights (ICCPR).

“Pemimpin Melayu-Islam dalam PH hanyalah badut yang menari menurut kehendak DAP dan sebahagian pemimpin PKR.

“Justeru, rakyat mesti terus bangkit menolak hasrat tidak berperlembagaan pemimpin PH ini. Jelmakan kesatuan dan solidariti ini menerusi Himpunan Bantah ICERD pada 8 Disember ini,” katanya.