Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > PH Melaka Cabar Pelantikan Ab Rauf

PH Melaka Cabar Pelantikan Ab Rauf

AYER KEROH, Pakatan Harapan (PH) Melaka akan memfailkan saman pemula bagi mencabar kedudukan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.

Pengerusi PH negeri, Adly Zahari, berkata turut difailkan adalah kedudukan Timbalan Speaker yang kini disandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rim, Datuk Ghazale Muhamad.

Beliau berkata, langkah terbabit diambil kerana pelantikan kedua-dua individu itu sebagai tidak wajar kerana ia dilakukan selepas penangguhan sidang DUN oleh Speaker, Datuk Omar Jaafar.

“Empat daripada enam usul yang pernah dihantar oleh Ketua Menteri, Datuk Sulaiman Md Ali ditolak oleh Speaker pada 6 Mac lalu, termasuklah usul menggantikan Speaker dan Timbalan Speaker.

“Namun, berlaku kekecohan dalam sidang DUN semalam sehingga Speaker mengambil langkah menangguhkan mesyuarat pada suatu tarikh dan masa yang akan ditetapkan.

“Namun, Perikatan Nasional (PN) didapati meneruskan persidangan, sekali gus mencabar peraturan DUN dan kuasa yang ada pada Speaker sebelum ini.

“Mereka juga melantik Speaker yang baharu serta meluluskan usul pelantikan seorang Ahli Dewan Negara (Senator),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Ab Rauf secara rasmi dilantik sebagai Speaker DUN Melaka yang baharu menerusi Persidangan Pertama Penggal Ketiga DUN Melaka ke-14 yang dipengerusikan sementara oleh Ghazale.

Pelantikan Ab Rauf diterima selepas mendapat sokongan majoriti 16 ADUN PN.

Mengulas lanjut Adly berkata, segala urusan mesyuarat termasuk pelantikan Speaker dan Senator yang dibuat semalam adalah tidak sah selepas sidang DUN ditangguhkan oleh Omar selaku Speaker yang sah.

Selain itu, beliau berkata kenyataan Ketua Menteri berhubung penangguhan Sidang DUN oleh Omar semalam sebagai tidak sah adalah tidak tepat.

“Beliau (Sulaiman) menyatakan penangguhan persidangan tidak mengikut Peraturan Mesyuarat 17 (5)(a) tidak tepat kerana peraturan itu perlu dibacakan sekali dengan Peraturan Mesyuarat 17(5), 17(2), 34(8) dan 36 serta perlu melihat keseluruhan suasana Dewan.

“Oleh yang demikian, PH mengadakan perbincangan bersama pasukan peguam, akan memfailkan saman pemula untuk mencabar keabsahan kedudukan Ab Rauf sebagai Speaker dan Ghazale sebagai Timbalan Speaker,” katanya.

Sementara itu, Sulaiman ketika ditemui selepas merasmikan Sambutan Hari Jururawat di Hospital Pakar Putra, di sini hari ini, meminta pembangkang menerima keputusan sidang DUN, semalam dengan hati terbuka.

“Saya tidak ada komen apa-apa, saya menghormati kenyataan mereka tetapi (dalam masa sama) mereka harus menghormati kenyataan saya semalam.

“Apa pun (yang mereka katakan dan lakukan), persidangan semalam adalah sah,” katanya.

Leave a Reply

Top