MH Online

Laman Suara Rakyat

PH Janji Tidak Pinggirkan Sarawak

PH Janji Tidak Pinggirkan Sarawak

BINTULU, Pakatan Harapan (PH) akan memastikan kawasan luar bandar Sarawak tidak dipinggirkan daripada agenda pembangunan Kerajaan Persekutuan.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, dorongan itu menyebabkan BERSATU melebarkan sayap ke Bumi Kenyalang.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, Sarawak masih jauh tertinggal dan memerlukan kepemimpinan baharu untuk memastikan tidak lagi berlaku sebarang penyelewengan dalam kepimpinan negeri itu.

“Sudah tiba masa untuk BERSATU dan PH memastikan Sarawak tidak lagi diketepikan daripada pembangunan supaya dapat maju seperti negeri lain,” katanya di Majlis Pelancaran BERSATU Sarawak yang disempurnakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Dewan Suarah Bintulu, malam ini.

Teks ucapannya dibacakan Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Muhyiddin berkata, beliau yakin lebih ramai rakyat Sarawak akan menyertai BERSATU untuk memastikan perjuangan parti itu dapat dilakukan dengan lebih berkesan.

Terdahulu, Penyelaras BERSATU Sarawak, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata, Sarawak memerlukan kepimpinan baharu dalam kalangan anak Sarawak untuk memastikan pembangunan yang lebih baik.

Beliau berkata, perubahan kepimpinan akan memastikan tidak ada lagi berlaku gejala rasuah yang dikhuatiri bakal melumpuhkan usaha memajukan Sarawak.