Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > PH Gagal Wujudkan Perpaduan

PH Gagal Wujudkan Perpaduan

KUALA LUMPUR, Kerajaan Pakatan Harapan (PH) disifatkan gagal mewujudkan perpaduan di Malaysia walaupun mempunyai Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang dikhaskan menjaga perpaduan negara dan kesejahteraan sosial.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, perpaduan rakyat berbilang kaum di negara ini dilihat semakin renggang.

Menurutnya, beliau menyokong penuh seruan penerbit Sinar Harian, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub agar kerajaan, parti politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan rakyat tidak memainkan isu perkauman dan agama bagi memadamkan api sengketa dalam kalangan rakyat.

Bagaimanapun beliau berkata, paling utama tugas menyatupadukan rakyat terletak di bahu pemerintah iaitu kerajaan.

“Sebagai kerajaan, banyak cara boleh dibuat (untuk mewujudkan perpaduan kaum dan agama), ada cara diplomasi, pendidikan, menguatkuasakan undang-undang dan semua itu terletak di tangan kerajaan.

“Pokoknya, semua pihak berperanan tetapi peranan utama perlu dimainkan kerajaan manakala pihak lain seperti parti politik dan NGO ialah sebagai pihak yang menyokong usaha itu.

“Kalau kerajaan ambil langkah (untuk wujudkan) perpaduan nasional iaitu perpaduan agama dan kaum, ia memang perlu disokong termasuk parti-parti pembangkang sendiri,” dipetik sebagai berkata.

Takiyuddin berkata, kerajaan juga perlu menyelesaikan isu-isu yang berbangkit antaranya hak asasi.

“Antara isu yang berbangkit di negara kita ialah dakwaan sesetengah kelompok, kaum itu bahawa mereka dianaktirikan, didiskriminasikan dari segi pembahagian kekayaan negara dari segi jaminan hak dan sebagainya.

“Itu perkara asas. Dalam perlembagaan pun dipanggil sebagai hak asasi. Jadi kerajaan perlu pastikan perkara itu (diselesaikan),” katanya.

Takiyuddin juga bersetuju dengan cadangan Hussamuddin agar Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad membuat keputusan tepat menyingkirkan pihak yang menyusahkan dan mengambil tindakan ke atas semua media dan portal yang mengapi-apikan sentimen perkauman.

Leave a Reply

Top