Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > PH Dakwa Terima 114 Sokongan Ahli Parlimen

PH Dakwa Terima 114 Sokongan Ahli Parlimen

KUALA LUMPUR, Pakatan Harapan (PH) mendakwa mereka sudah memperoleh sokongan 114 Ahli Parlimen setakat malam ini dan boleh membentuk kerajaan.

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil, menerusi Facebook Live menjelaskan bekas Menteri Kerja Raya, Baru Bian adalah Ahli Parlimen ke-114 yang menandatangani akuan bersumpah (SD) menyokong Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri bagi PH di Yayasan Al-Bukhary di sini, malam ini.

Terdahulu, bekas Ahli Parlimen Selangau itu dilihat memasuki perkarangan yayasan, menaiki kenderaan jenis Mercedes-Benz berwarna hitam, kira-kira jam 8.35 malam.

Baru Bian kemudian turun dari kenderaan dan memasuki bangunan yayasan, sebelum dilihat keluar 10 minit kemudian.

Ketika dihampiri media, Baru Bian hanya melambaikan tangan kepada pemberita dan ‘mengunci mulut’ apabila ditanya keputusannya menandatangani SD bagi menyatakan sokongan terhadap PH.

Bersandarkan perkembangan semasa itu, PH kini mendakwa mempunyai majoriti mudah untuk membentuk kerajaan, namun senarai penuh individu yang menandatangani SD berkenaan belum didedahkan.

Terdahulu, Ketua Umum PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pakatan itu kini berjaya mengumpul kepercayaan yang jauh lebih tinggi daripada jumlah Ahli Parlimennya yang sedia ada.

Ditemui di sebuah hotel di Petaling Jaya, Anwar yang juga presiden PKR yakin jumlah sokongan yang diperoleh PH kini adalah mencukupi untuk membentuk kerajaan.

“Jauh. ..jauh lebih tinggi. Tun Dr Mahathir tentulah bawa beberapa lagi,” katanya.

Ketika ditanya jumlah sebenar sokongan Ahli Parlimen kepada PH, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson enggan mendedahkannya.

“Tak bolehlah sebab kita hantar ke Istana (Negara) …biar Istana (Negara) yang tentukan,” katanya.

Sebelum itu, Timbalan Presiden Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Salahuddin Ayub, berkata PH mempunyai 112 undi sokongan dalam kalangan Ahli Parlimen, setakat jam 4 petang semalam.

Katanya, PH akan mengumpulkan bukti, termasuk akuan bersumpah yang mencerminkan gabungan itu mempunyai sokongan majoriti untuk membentuk kerajaan.

“Kita akan mengumpulkan bukti-bukti yang masih ada, dengan masih yakin dan percaya bahawa kita mampu untuk menunjukkan bukti dalam tempoh terdekat bahawa kita ada perangkaan yang mencukupi,” katanya.

Kalangan pemimpin PH dilihat mula berkumpul di perkarangan Yayasan Al-Bukhary sejak jam 5 petang tadi.

Antara yang terawal tiba adalah Presiden AMANAH, Mohamad Sabu dan Naib Presiden, Datuk Seri Mujahid Yusof.

Difahamkan, Dr Mahathir selaku Perdana Menteri interim berada di yayasan itu selepas selesai menghadiri majlis persandingan cucunya di sebuah hotel, tengah hari tadi.

Leave a Reply

Top