MH Online

Laman Suara Rakyat

Petugas Khas MKN Pastikan Kelancaran Sukan Sea

SHAH ALAM, Sepasukan petugas khas yang terdiri daripada agensi penguatkuasaan ditubuh untuk memastikan kelancaran penganjuran Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) yang bakal berlangsung Ogos ini.

Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin, berkata pasukan khas berkenaan ditubuhkan selepas mengambil kira situasi semasa yang kerap diancam oleh pengganas.

“Kita memandang serius setiap ancaman dan bimbang ada tindakan dari pengganas. Justeru, pasukan petugas ini sudah siap sedia untuk membanteras segala bentuk ancaman sepanjang penganjuran sukan terbabit.

“Petugas akan diketuai oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut disertai banyak agensi penguatkuasaan antaranya Angkatan Tentera Malaysia (ATM); Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM); Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan banyak lagi,” katanya ketika ditemui di Program Syarahan Patriotik: Negaraku dan Kedaulatan Negara di Dewan Intekma Resort & Convention Center, di sini, hari ini.

Yang turut hadir adalah Timbalan Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Majlis Keselamatan Negara (MKN) Datuk Zahari Alias; Pengarah Pusat Kokurikulum UiTM Professor Madya Mohammed Yaziz Ahmad serta Pengarah CMIWS, Professor Madya Dr Abd Rasid Abd Rahman.

Program anjuran Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) melalui Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi (CMIWS) itu dihadiri kira-kira 650 pelajar dari pelbagai fakulti universiti berkenaan.

Dekan FKPM, Professor Dr Azizul Halim Yahya, berkata pengalaman lebih empat dekad Zulkifeli dalam ATM menjadikannya tokoh yang paling sesuai membicarakan topik berkenaan.

“Objektif utama program ini adalah untuk meningkatkan kesedaran patriotisme dan rasa cinta kepada negara sekali gus menjadikan golongan mahasiswa sebagai ejen pemangkin semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat.

“Golongan mahasiswa hari ini juga tidak terkecuali daripada dipengaruhi oleh pelbagai bentuk anasir, maklumat dan pemikiran dalam dunia global dan sebahagian mungkin bertentangan dengan teras identiti, norma dan budaya negara.

“Justeru, program ini diharapkan dapat mengukuhkan kesinambungan, nilai patriotisme serta jati diri mahasiswa,” katanya.