Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > PETRONAS Teroka Pertanian Berasaskan AI

PETRONAS Teroka Pertanian Berasaskan AI

KUALA LUMPUR, PETRONAS menerusi cabang modal terokanya, PETRONAS Ventures memeterai perjanjian dengan Braintree Technologies Sdn Bhd (Braintree Technologies) bagi pelaburan dalam teknologi pertanian berasaskan robot kecerdasan buatan (AI) untuk automasi.

Inisiatif itu menandakan usaha PETRONAS ke dalam pelaburan modal teroka di Malaysia dan urus niaga berkenaan dijangka selesai pada awal Julai ini.

Braintree Technologies membangunkan peranti robotik dan perisian proprietari yang menyediakan penyelesaian menyeluruh pertanian selain mengukar tanah pertanian yang tidak dijaga dan tidak menjana hasil menjadi ladang tanaman bernilai tinggi.

Ketua PETRONAS Ventures, Mohd Azli Ishak, berkata pelaburan itu mencerminkan strategi syarikat untuk meneroka ekosistem pemula niaga Malaysia dalam mencari teknologi yang menyokong pertumbuhan PETRONAS di luar perniagaan minyak dan gas.

“Kami percaya pelaburan ini akan mewujudkan ekosistem yang tepat untuk perladangan pintar, memanfaatkan pengetahuan PETRONAS dalam aplikasi urea dan baja serta teknologi AI dan robotik daripada Braintree Technologies,” katanya dalam satu kenyataan.

Ketua Pegawai Eksekutif Braintree Technologies, Arif Makdzir, berkata ketika syarikatnya mula ditubuhkan, terdapat jurang dalam industri pertanian di Malaysia.

Beliau berkata, pertanian pintar dapat membantu meningkatkan produktiviti dan hasil serta kelangsungan kos sara hidup petani.

“Menggabungkan pengalaman teknikal kami dalam pengembangan perisian dan pengetahuan pertanian, kami berharap dapat mendorong perubahan bagi Malaysia dalam industri utama ini.

“Braintree Technologies berbesar hati atas kepercayaan PETRONAS Ventures melabur dalam syarikat pemula niaga tempatan dan memberikan sokongan untuk kami bergerak ke peringkat global,” katanya.

Leave a Reply

Top