Petroliam Nasional Bhd (Petronas) akan melabur kira-kira RM18 juta dalam tempoh empat tahun akan datang bagi melaksanakan tiga inisiatif pelaburan sosial korporatnya (CSI) di Sabah.

Dalam satu kenyataan pada Jumaat Petronas berkata program itu – Planting Tomorrow, Food Basket dan Youth Development – dilancarkan Khamis.

“Inisiatif itu akan dilaksanakan dengan kerjasama beberapa organisasi rakan.

“Matlamatnya adalah untuk membantu meningkatkan taraf hidup dalam kalangan masyarakat di beberapa kawasan luar bandar, selain menyokong pembangunan belia Sabah menerusi sukan,” katanya.

Pengerusi Petronas Tan Sri Sidek Hassan berkata setiap program yang dilaksanakan itu bertujuan untuk sampai kepada mereka yang memerlukan serta membantu mereka merealisasikan impian dan potensi meskipun ia seolah-olah tidak dapat dilaksanakan.

“Berdasarkan inspirasi ini, Petronas berusaha gigih untuk melaksanakan program-program sosial mampan dan berkesan, dengan tumpuan kepada masyarakat yang memerlukannya,” katanya.

Petronas berkata lebih banyak inisiatif juga sedang dirancang, termasuk pembinaan Maktab Rendah Sains Mara di Ranau dan dua asrama di sekolah terpilih, yang akan dilancarkan lewat tahun ini.

Pada 2011 dan 2016, Petronas melabur RM184.8 juta untuk melaksanakan pelbagai program, termasuk RM83 juta untuk pemuliharaan Kanyon Imbak dengan usaha sama Yayasan Sabah, katanya.

“Program lain ialah Program Penajaan Pendidikan Petronas, Sekolah Amanah, Program Sentuhan Ilmu Petronas, Program Sentuhan Kasih, serta Bantuan Latihan dan Tajaan Institusi Vokasional,” katanya.

Sementara itu, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman berkata inisiatif yang dilancarkan oleh Petronas pada ketika industri minyak dan gas berhadapan dengan cabaran, menggambarkan komitmen tinggi PETRONAS dalam melaksanakan program tanggungjawab sosialnya untuk rakyat Sabah.

“Saya yakin program ini akan membantu mengurangkan kadar kemiskinan dan meningkatkan taraf hidup dalam kalangan masyarakat, katanya.

 

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *