Sebuah pesawat Singapore Airlines (SIA) terbakar di landasan Lapangan Terbang Changi di sini pagi Isnin selepas diarah berpatah balik kerana kebocoran bahan api.

The Straits Times Singapura difahamkan pesawat dengan nombor penerbangan SQ368 itu berlepas dari Terminal 3 Lapangan Terbang Changi menuju Milan, Itali  kira-kira pukul 2.05 pagi Isnin.

Salah seorang penumpang, Lee Bee Yee, 43, berkata dia terhidu bau petrol kira-kira dua atau tiga jam selepas pesawat tersebut berlepas.

“Juruterbang kemudiannya memaklumkan kepada kami berlaku kebocoran dan pesawat itu terpaksa berpatah balik ke Lapangan Terbang Changi kerana tidak  mempunyai bekalan petrol secukupnya untuk perjalanan itu,” kata Lee.

 Menurut Lee, pesawat itu membuat pendaratan cemas di Lapangan Terbang Changi kira-kira pukul 6.45 pagi.

Sebaik mendarat, sayap kanan pesawat itu terbakar.

“Api mulai marak dan kami terpaksa menunggu kira-kira dua atau tiga minit sebelum bomba tiba.

“Semua penumpang kelihatan tenang,” katanya.

Gambar yang dirakam Lee menunjukkan anggota bomba menyembur buih untuk memadamkan kebakaran itu.

Kesemua penumpang kemudiannya turun dari pesawat kira-kira pukul 7.20 pagi.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *