MH Online

Laman Suara Rakyat

Pesara Mengaku Bersalah Terima Rasuah

IPOH, Seorang bekas pegawai di Jabatan Mineral dan Geosains Perak hari ini menukar pengakuannya kepada bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap pertuduhan menerima rasuah bagi tujuan kerja rasmi, dua tahun lepas.

R. Thangavelu, 61, yang sudah bersara semasa pertama kali dihadapkan di mahkamah pada 10 Ogos lepas mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu.

Dia yang ketika itu bertugas di Bahagian Perkhidmatan Teknikal jabatan berkenaan didakwa menerima wang tunai RM300 dengan tiada balasan daripada Mohamad Imran Abdullah, yang mempunyai hubungan kerja rasmi dengan tertuduh.

Thangavelu didakwa melakukan kesalahan itu di bilik pejabatnya di Tingkat 1, Bangunan Makmal Kimiabumi, Bahagian Perkhidmatan Teknikal, Jabatan Mineral dan Geosains di sini pada pukul 4.10 petang, 4 Sept 2015 mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun dan denda atau kedua-duanya.

Hakim S. Indra Nehru menetapkan 19 Dis depan untuk jatuh hukum sementara menunggu laporan penuh dan fakta kes dan turut melanjutkan jaminan RM9,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Nurul Wahida Jalaluddin, manakala Thangavelu diwakili peguam M. Kathan.