MH Online

Laman Suara Rakyat

Peruntukan MARA Tidak Dipotong

Peruntukan MARA Tidak Dipotong

KUALA LUMPUR, Peruntukan untuk Majlis Amanah Rakyat (MARA) dalam Belanjawan 2019 tidak berkurangan sehingga 50 peratus berbanding 2018 sebagaimana didakwa pembangkang.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun sebaliknya berkata, peruntukan yang akan disalurkan itu adalah hampir sama dengan apa yang sudah disalurkan pada tahun lalu.

Menurutnya, pada 2018, jumlah keseluruhan peruntukan yang diterima MARA adalah RM3.79 bilion dengan pecahan RM3.48 bilion di bawah belanja mengurus, manakala sebanyak RM307 juta lagi untuk belanja pembangunan.

“Bagi Belanjawan 2019, jumlah keseluruhan yang diumumkan kerajaan berjumlah RM 3.705 bilion dengan pecahan RM1.3 bilion di bawah belanja mengurus manakala RM2.4 bilion untuk belanja pembangunan.

“Jadi berdasarkan kepada angka ini peruntukan MARA tidaklah berkurangan sebanyak 50 peratus seperti yang didakwa, sebaliknya hampir sama seperti tahun lalu,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Semalam, Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin, ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2019 di Dewan Rakyat, menuntut kerajaan memberi penjelasan berhubung pengurangan sehingga separuh peruntukan untuk MARA dalam Belanjawan 2019 berbanding 2018.

Mewakili Ketua Pembangkang, beliau mempersoalkan sama ada pengurangan terhadap agensi yang khusus membantu memajukan ekonomi Melayu dan Bumiputera itu, ada kaitan dengan hasrat kerajaan meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

“Kegusaran Bumiputera bukan hanya terhadap polemik ICERD, bahkan terkesan dengan Belanjawan ini.

“Peruntukan MARA dikurangkan lebih 50 peratus daripada RM3.5 bilion pada 2018 kepada hanya RM1.3 bilion untuk 2019.

“Saya memohon penjelasan pihak kerajaan berkenaan hal ini,” katanya.

Mengulas lanjut, Rina berkata, peruntukan kerajaan kepada sesebuah agensi perlu dilihat secara menyeluruh meliputi belanja mengurus dan belanja pembangunan.

“Dalam belanjawan 2019 ini, wujud penstrukturan semula belanjawan MARA di mana peruntukan bagi program penganjuran pelajaran MARA sebanyak RM 2.057 bilion dipindahkan ke bawah belanja

pembangunan.

“Akan tetapi pada 2018, penyaluran peruntukan bagi program terbabit diletakkan di bawah belanja mengurus,” katanya.

Jelas beliau, kekeliruan yang ditimbulkan itu tidak sepatutnya berlaku jika Belanjawan 2019 yang diedarkan dibaca secara menyeluruh.

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) katanya, sentiasa prihatin dengan keperluan untuk membangunkan Bumiputera terutamanya program-program yang dilaksanakan di bawah MARA.

“Sebagai sebuah agensi yang ditubuhkan khusus untuk membantu dan memajukan ekonomi Bumiputera, kerajaan sama sekali tidak akan mengurangkan peruntukan.

“Sebaliknya, kementerian akan terus berusaha untuk memastikan program bagi pembangunan Bumiputera terutamanya di luar bandar dan masyarakat B40 sentiasa diperluaskan,” katanya.