Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Perunding Bius Kerugian RM 63,465 Ditipu Macau Scam

Perunding Bius Kerugian RM 63,465 Ditipu Macau Scam

KUANTAN, Seorang perunding bius menanggung kerugian RM63,465 selepas diperdaya sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata kejadian Isnin lalu, apabila mangsa yang berusia 60 tahun menerima panggilan dari seorang lelaki mendakwa sebagai Pegawai Pengurusan Siasatan Khas Cawangan A SPRM Putrajaya.

“Individu itu beritahu mangsa yang dia akan ditahan polis kerana kesalahan tidak membayar cukai pendapatan atas syarikat perabot Umar ENT yang diwujudkan atas namanya pada tarikh 16 Mei 2017 di Perak.

“Mangsa terkejut kerana tidak mempunyai syarikat. Suspek juga beritahu mungkin ada orang yang menggunakan maklumat mangsa untuk menubuhkan syarikat, tanpa pengetahuan dan kehadirannya,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Mohd Wazir berkata, suspek kemudian menawarkan diri untuk menyelesaikan masalah ini secara dalam talian sebelum panggilan disambungkan kononnya ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak.

“Mangsa kemudian bercakap dengan seorang lagi suspek yang bernama Sarjan Azlan Musa dan bertanyakan beberapa soalan kepadanya, kemudian memberitahu dia disyaki terbabit dalam jenayah pengedaran dadah dan penggubahan wang haram.

“Mangsa semakin keliru tetapi terus sahaja menurut arahannya,” katanya.

Katanya, panggilan itu kemudian disambungkan kepada Datuk Hafizul yang kononya boleh membantu menyelesaikan kes mangsa.

“Datuk Hafizul meminta mangsa bekerjasama dan membuka laman web Bank Negara Malaysia yang mana pautan itu diberikan oleh suspek melalui WhatsApp (www.bank-negaramy.com).

“Mangsa mengikut dan memasukkan maklumat dua akaun banknya ke dalam laman web berkenaan. Pengadu kemudiannya mendapati, baki dalam dua akaun bank miliknya berkurangan RM63,465,” katanya.

Menyedari dirinya ditipu, mangsa kemudiannya datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di sini untuk membuat laporan dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Leave a Reply

Top