Perubahan sistem pentadbiran di Amerika Syarikat yang kini diterajui Presiden Donald Trump tidak akan menjejaskan dasar atau kerjasama berkaitan keselamatan yang dijalin dengan Malaysia.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan semua Perjanjian Persefahaman (MoU) termasuk berkaitan dengan jenayah rentas sempadan tetap diteruskan.

“Dari segi jangka panjang, walaupun presiden bertukar tapi dasar dan kerjasama yang dimeterai sebelum ini seperti pencegahan jenayah terus berjalan,” katanya.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri bercakap kepada pemberita selepas majlis penyampaian Bantuan Persekolahan dan Hadiah Kecemerlangan Ujian Penilaian Sekolah Rendah di sini hari ini.

Trump mengangkat sumpah sebagai Presiden Amerika Syarikat ke-45 di Capitol Hill, Washington DC, hari ini di hadapan Ketua Hakim Mahkamah Agung Amerika Syarikat, John Roberts pada pukul 1.05 pagi (12.05 tengah hari Jumaat waktu Washington).

Bilionair Amerika Syarikat berusia 70 tahun itu menggantikan Barack Obama selepas mengalahkan calon Demokrat, Hillary Clinton pada Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat, 8 Nov lepas.

Menjelas lanjut, Ahmad Zahid berkata kerjasama keselamatan yang terjalin antara Washington dengan Kuala Lumpur antara lain Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) dan agensi perisikan.

“Kita juga ada MoU bagi perpindahan banduan selain program radikalisasi untuk tahanan yang berkaitan dengan pengganas,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *