MH Online

Laman Suara Rakyat

‘Pertemuan Tersebut Tidak Sesuai’

'Pertemuan Tersebut Tidak Sesuai'

KUALA LUMPUR, Tindakan Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali bertemu sekumpulan ahli parlimen BN malam tadi di kediaman rasmi di Presint 10, Putrajaya akan mengundang persepsi kurang baik terhadap Pakatan Harapan.

Demikian kata Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution yang juga menyifatkan bahawa pertemuan tersebut diadakan pada masa yang tidak sesuai.

“Saya jujur tidak tahu tujuan dan butiran perjumpaan. Walau apa pun tujuan, masanya tidak sesuai dengan latar belakang PH kalah teruk di Tanjung Piai.

“Pertemuan (ini) mengundang persepsi kurang baik terhadap PH (dan) wajar dielak,”dipetik sebagai berkata.

Terdahulu, media melaporkan sekurang-kurangnya 22 MP BN berkumpul di kediaman rasmi Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali pada sekitar pukul 9.30 malam dan berlangsung selama dua jam.

Ahli parlimen BN mengunci mulut berhubung tujuan lawatan mereka ke banglo yang terletak di tepi Tasik Putrajaya itu.

Selain ahli parlimen BN, ahli parlimen PKR turut hadir.

Azmin melihat wartawan berkumpul di luar rumahnya tetapi tidak bertemu dengan mereka dan sebaliknya terus masuk dalam rumah.

Perjumpaan antara Azmin dan pemimpin BN ini berlangsung dua hari selepas kekalahan besar PH dalam pilihan raya kecil Tanjung Piai.

Beberapa pemimpin PH menyalahkan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad atas kekalahan itu dan mencadangkan agar beliau menyerahkan kuasa kepada Presiden PKR, Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun, Azmin hari ini tampil menyokong Dr Mahathir dan menyeru pemimpin serta ahli-ahli parti PH untuk bersamanya.

PKR ketika ini dilihat terpecah antara kem Azmin dan kem Anwar.

Dalam pada itu, Saifuddin yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberitahu bahawa PH perlu utuh dan padat untuk terus menerajui kerajaan.

“PH selepas tewas di Tanjung Piai mesti dilihat utuh dan padu untuk terus menerajui kerajaan.

“PH tegak di atas prinsip saling percaya dan hormat-menghormati sesama parti dalam gabungan,” tambahnya.