Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Pertarungan Terpenting Sepanjang Sejarah UMNO

Pertarungan Terpenting Sepanjang Sejarah UMNO

Oleh : SHAHBUDIN EMBUN

KUALA LUMPUR, Tarikh 30 Jun 2018 mungkin merupakan tarikh yang paling penting dalam sejarah penubuhan UMNO. Inilah kali pertama Presiden UMNO akan dipilih ketika UMNO dikatakan berada dalam keadaan dan kedudukan yang sangat kritikal.

Keputusan Pilihan Raya Umum ke 14 sudah cukup untuk dijadikan sebagai petunjuk bagaimana rakyat membuat pilihan mereka .Walaupun UMNO masih merupakan parti yang paling banyak mendapat kerusi di Parlimen, namun hakikatnya,pengaruh UMNO sudah menurun dan UMNO perlu menghormati pilihan yang dibuat.

Itu sebabnya siapa yang bergelar presiden nanti akan menghadapi cabaran dan tanggungjawab yang cukup berat untuk terus membuktikan yang UMNO tetap relevan dan akan kembali bangkit.

Adakah Tengku Razaleigh (Ku Li) merupakan pemimpin yang boleh menaikkan semula martabat UMNO.? Bagaimana pula dengan peluang Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang berasa yakin bahawa dialah orang yang paling sesuai untuk jawatan ini. Dan adakah UMNO akan memilih calon muda seperti Khairy Jamaludin untuk mengetuai cabaran parti ini dan mencorak halatuju UMNO.

Jika dilihat pada laporan dan beberapa kenyataan di alam siber dan juga media sosial, maka Ku Li boleh dianggap sebagai calon pilihan.Pelbagai faktor diberikan mengapa Ku Li merupakan calon yang paling sesuai. Antaranya ialah Ku Li bukan dari era pemerintahan bekas presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang mana ada suara dari para penyokong UMNO yang mahu parti ini diberikan nafas baru tanpa ada sebarang pengaruh dari kepimpinan lama.

Pengalaman beliau pula tidak boleh disangkal lagi dan ketokohannya sentiasa dihormati oleh kawan mahupun lawannya. Itulah kelebihan Ku Li. Dan walaupun bergelar sebagai calon pilihan, namun mungkin masih belum cukup untuk para penyokong Ku Li membuat persediaan untuk menyambut kemenangan beliau. Beliau akan ditentang hebat oleh dua lagi calon yang tidak kurang hebatnya.

Perlu diingatkan bahawa calon pilihan tidak semestinya dapat diterjemahkan dalam bentuk kemenangan. Dalam kejohanan FIFA Piala Dunia yang berlangsung sekarang, siapa yang menyangka pasukan Jerman, pasukan penyandang juara dan mempuyai pengalaman yang luas serta rekod yang cemerlang dalam Piala Dunia akan kecundang di peringkat kumpulan hinggakan tewas kepada psukan Korea Selatan.

Bagaimana pula dengan Khairy Jamaludin (KJ) yang tiba-tiba membuat keputusan untuk bertanding. Walaupun KJ merupakan calon yang paling kurang berpengalaman jika dibandingkan dengan Ku Li dan Ahmad Zahid , namun jangan terkejut jika KJ berjaya membuat kejutan.

Beliau ditampilkan oleh para penyokongnya sebagai pencetus reformasi UMNO yang akan membawa perubahan positif untuk UMNO. KJ juga dikatakan akan mendapat sokongan daripada golongan muda yang melihat beliau sebagai mewakili generasi hari ini yang akan terus mewarisi kepimpinan UMNO. Namun pada masa yang sama, ada juga yang merasakan KJ gagal untuk meningkatkan nama Pemuda UMNO semasa dia menjadi Ketua Pemuda UMNO dahulu.

Adakah Ahmad Zahid merupakan calon yang paling sesuai? Dalam ketiga-tiga calon ini, nampaknya hanya Ahmad Zahid yang teruk dihentam di media sosial . Pelbagai teori dikemukakan kenapa Ahmad Zahid harus mengundurkan diri dan tidak layak untuk memegang tampuk pemerintahan UMNO.

Namun sifat kesediaan dan keterbukaan Ahmad Zahid, yang menjalankan tugas-tugas Presiden, semasa zaman kejatuhan UMNO dan ketika parti keramat ini diperlekeh lawan, jelas membuktikan bahawa beliau merupakan seorang pemimpin berjiwa besar dan sanggup memikul tanggungjawab yang sangat berat ini.

Ahmad Zahid tidak perlu memerlukan masa yang lama untuk membuat keputusan dan tidak berubah hati apabila membuat sesuatu keputusan itu.Ciri-ciri seperti ini perlu diambilkira oleh para perwakilan ketika membuat keputusan nanti.

Walaupun terdapat kempen untuk merosakkan nama Ahmad Zahid yang mengaitkan beliau dengan kepimpinan lama , namun Ahmad Zahid masih dilihat sebagai pemimpin yang boleh melakukan rombakan dan perubahan dalam UMNO. Beliau mempunyai wawasan yang jelas untuk memulihkan semula semangat perjuangan UMNO.
Sekarang terpulang kepada para perwakilan UMNO membuat keputusan yang penting dalam sejarah penubuhan UMNO.

Mungkin perkara yang lebih penting ialah untuk terus memastikan pertandingan ini tidak akan memecahbelahkan UMNO, bahkan terus mematangkan UMNO sebagai sebuah parti yang akan terus memberi sumbangan kepada pembangunan agama, bangsa dan negara.

Shahbudin Embun
Pengerusi Biro Politik
Majlis Perundingan Melayu Malaysia

Leave a Reply

Top